Polis rampas pistol tahan empat lelaki

Muhamad Zaki menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh.
Muhamad Zaki menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Kelantan menahan empat lelaki selepas dipercayai memiliki sepucuk pistol tiruan dan enam peluru asli dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh pada Isnin.

Ketika serbuan anggota Cawangan (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 2 petang itu empat lelaki berusia 33 sehingga 43 tahun berada di kediaman terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seorang daripada suspek membawa anggota serbuan ke bahagian belakang rumah sebelum menunjukkan pistol terbabit.

"Pistol itu disembunyikan di dalam tanah dan selepas digali polis menemui plastik berwarna ungu berisi sepucuk pistol dan enam peluru," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Selasa.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati pistol berkenaan adalah tiruan tetapi menyamai yang asli.

Pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh.
Pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh.

"Bagaimanapun, pelurunya adalah peluru hidup. Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga 10 Mac untuk siasatan lanjut," katanya.

Muhamad Zaki berkata, ujian urin mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki apa-apa senjata atau amunisi tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Selain itu katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.