Dr Lingeshwaran, Amir Ghazali dilantik Ahli Dewan Negara

DUN Pulau Pinang pada Selasa meluluskan usul melantik Dr A Lingeshwaran dan Amir Md Ghazali sebagai Ahli Dewan Negara.
DUN Pulau Pinang pada Selasa meluluskan usul melantik Dr A Lingeshwaran dan Amir Md Ghazali sebagai Ahli Dewan Negara.
A
A
A

GEORGE TOWN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Selasa meluluskan usul melantik Dr A Lingeshwaran dan ahli perniagaan Amir Md Ghazali sebagai Ahli Dewan Negara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mencadangkan kedua-dua nama berkenaan dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri berkenaan untuk tempoh tiga tahun.

Kon Yeow berkata, Dr Lingeshwaran, 36, mempunyai kelulusan dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Kesihatan pada 2022 di Universiti of New South Wales, Australia dan lulus dengan ljazah Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya telah melantik Dr Lingeshwaran sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap pada Ogos 2022.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Amir, 51 tahun, merupakan Pengarah urusan Amghaz Resource Sdn Bhd yang mempunyai ibu pejabat di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

"Pada 2009, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai selama enam penggal mewakili kuota Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang.

"Pada 2023, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Puan Nurul Izzah Anwar,” katanya. - Bernama