KPDN Kedah sita 12,000 liter minyak diesel cuba diseleweng

Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 12,000 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng dalam Ops Tiris di stor tanpa nama di ladang kelapa sawit, Bedong, di sini, pada Isnin.
Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 12,000 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng dalam Ops Tiris di stor tanpa nama di ladang kelapa sawit, Bedong, di sini, pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 12,000 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam Ops Tiris di stor tanpa nama di ladang kelapa sawit, Bedong, di sini, pada Isnin.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, minyak bersubsidi dianggarkan bernilai RM 25,800 itu dirampas menerusi serbuan lebih kurang jam 1.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis tidak berpenghuni tersebut telah menjumpai dua 'skid tank' berisi minyak diesel dan lain-lain peralatan disyaki digunakan untuk penyelewengan.

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah melakukan operasi Ops Tiris di stor tanpa nama di ladang kelapa sawit, Bedong, di sini, pada Isnin.
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah melakukan operasi Ops Tiris di stor tanpa nama di ladang kelapa sawit, Bedong, di sini, pada Isnin.

"Seterusnya, pasukan penguatkuasa bertindak menyita barang-barang tersebut untuk siasatan lanjut dengan anggaran jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM 36,000.

"Ia termasuklah minyak diesel bernilai RM 25,800 serta barang-barang lain seperti dua 'skid tank' dan empat unit hos paip dianggarkan berjumlah RM10,200," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Menurut Affendi, mana-mana orang perseorangan yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika sabit kesalahan kedua, mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurut beliau, bagi pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta.

Affendi berkata, KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini.

Beliau memaklumkan, pihaknya sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang kawalan di seluruh negara.

"Usaha ini bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang seterusnya merugikan negara," katanya.

Affendi menambah, KPDN juga sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian ataupun eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.

"KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel diberikan kerajaan kerana tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak masyarakat sepatutnya menikmati subsidi ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan.