Zakat fitrah di Melaka ditetapkan RM7, RM14: Ketua Menteri

Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memaklumkan zakat fitrah di Melaka ditetapkan pada dua kadar tahun ini iaitu RM7 dan RM14 berbanding RM6.70 tahun lepas, kata Pengerusinya Adly Zahari.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, kadar itu ditetapkan menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan pengesahan MAIM dan penetapan kadarnya adalah berdasarkan harga beras mengikut gred serta jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.

“Umat Islam negeri ini yang menjadikan makanan harian daripada beras jenis super tempatan perlu membayar sebanyak RM7, manakala RM14 pula bagi mereka yang menjadikan makanan harian daripada beras import termasuk beras wangi, beras basmathi dan seumpamanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Sembang Santai Usahawan Lang International Corporate Titans Awards dan kerajaan negeri di Ayer Keroh di sini.

Sementara itu, Adly berkata MAIM menyasarkan peningkatan kutipan zakat fitrah sebanyak 30 peratus dengan penetapan kadar baharu itu berbanding RM87.8 juta tahun lepas.

Beliau berkata bagi melicinkan usaha kutipan zakat fitrah, seramai 950 amil telah dilantik terdiri daripada pegawai syarak dan bukan pegawai syarak serta agensi di seluruh Melaka.

"Kita berharap agar semua umat Islam yang layak melunaskan tanggungjawab rukun Islam ketiga ini agar ia kemudian dapat dikongsi bersama golongan penerima agihan zakat seperti asnaf, fakir dan mualaf.

“Pengagihan zakat fitrah ini akan memberi impak besar kepada golongan berkenaan berikutan ia dapat membantu meringankan tanggungan mereka,” kata Adly.

Sementara itu, beliau berkata Melaka bakal melancarkan aplikasi kesihatan 'Melaka Sihat' sekali gus mampu membentuk masyarakat sihat di negeri ini.

"Kerajaan negeri masih berbincang dan menilai setiap pelaksanaan ini agar ianya dilaksanakan dengan sempurna selain usaha ini juga perlu mendapat sokongan golongan sasar khususnya belia," katanya. - Bernama