738 banduan Penjara Penor, Bentong tunai zakat fitrah

Salah seorang banduan di Penjara Penor membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik.
Salah seorang banduan di Penjara Penor membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 738 banduan di Penjara Penor dan Penjara Bentong menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dengan jumlah kutipan keseluruhan RM6,419 sejak awal Ramadan ini.

Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain berkata, banduan di dua penjara itu membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (Muip) dalam kalangan pegawai agama Jabatan Penjara Pahang.

Menurutnya, pada Ramadan kali ini, 365 banduan di Penjara Bentong dan 373 banduan Penjara Penor tampil membayar zakat fitrah masing-masing.

"Pihak penjara tidak pernah memaksa setiap banduan untuk membayar zakat fitrah namun mereka ikhlas tampil menunaikan kewajipan itu.

"Mereka (banduan) menggunakan pendapatan hasil kerja yang dilakukan dalam penjara untuk membayar zakat fitrah," katanya.

Abu Hassan berkata, hasil pendidikan agama yang diberikan memberi kesedaran kepada banduan untuk menunaikan kewajipan itu walaupun berada di penjara.

Menurutnya, sepanjang Ramadan ini, banduan yang terpilih turut mengikuti program tadarus al-Quran dipimpin guru-guru agama.

"Majlis khatam al-Quran turut diadakan setelah peserta selesai menamatkan bacaan mereka secara berkumpulan antara tiga hingga empat kali," ujarnya.