Isu kemurungan, siasatan filem Mentega Terbang jadi tumpuan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemurungan bukanlah satu perkara baharu dalam masyarakat di Malaysia, namun kebelakangan ini, masalah itu dilihat semakin membimbangkan apatah lagi jika membabitkan anggota beruniform yang bersenjata.

Laporan mengenai seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal menembak isterinya hingga maut dalam kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Kangar, Perlis pada Ahad antara yang menjadi tumpuan.

Kebimbangan bahawa suspek mempunyai masalah mental terjawab apabila keluarga mengesahkan anggota berkenaan pernah mengalami kemurungan sejak beberapa tahun lalu.

Pada Isnin, ibu mentuanya, Che Mas Taha, 63, mengesahkan menantunya itu pernah diserang kemurungan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.

Susulan itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan supaya kerajaan menyediakan ujian mental secara percuma kepada kakitangan awam sekurang-kurangnya sekali setahun bagi membendung kejadian meragut nyawa berkaitan kemurungan.

Tambahnya, perkara itu perlu kerana penjawat awam terutamanya Polis Diraja Malaysia dapat menjalankan tugas dengan mental yang stabil.

Berhubung filem indie kontroversi, Mentega Terbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem berkenaan.


Ia susulan lapan laporan yang telah diterima setakat ini.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) akta yang sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam perkembangan lain, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul pengisytiharan kekosongan kerusi melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Timbalan Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (Dap-Datuk Keramat) yang kemudian mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Susulan itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Dr Law Choo Kiang.

Sementara itu, bagi perkembangan banjir, seramai 43,406 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang dilanda banjir setakat 8 malam Isnin.