Lans Koperal alami kemurungan, isteri hamil lima bulan

Che Mas (Gambar kecil: Safsufarnisha)
Che Mas (Gambar kecil: Safsufarnisha)
A
A
A

KANGAR - Anggota polis yang menembak isterinya hingga maut dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu.

Ibu mentuanya, Che Mas Taha, 63, berkata, menantunya itu pernah diserang kemurungan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.

Katanya, suspek ketika itu memandu kereta tanpa hala tuju sehingga kehabisan minyak dan tersadai di tepi lebuh raya.

"Masa tu anak makcik (Safsufarnisya Salleh, 26) terpaksa minta bantuan rakan sekerja untuk cari suami dia.

"Menantu masa tu dikatakan sembahyang tepi lebuh raya sambil menangis tanpa sebab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Baru Simpang Empat di sini pada Isnin.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Setiu Terengganu itu merupakan menantu yang sangat rapat dan ringan tulang.

"Lepas berkahwin mereka terus berpindah tinggal dengan makcik dan suami (Salleh Ezan, 61) memandangkan suami pun tidak sihat kerana menghidap kanser usus tahap empat.

"Jadi setiap kali pemeriksaan di hospital, sampai ke Alor Setar pun memang dia la yang bawa kami, sebab anak-anak lain duduk jauh," katanya.

Che Mas menambah, walaupun suspek hanya seorang menantu tetapi kasih sayang kepadanya sama seperti anak sendiri.

"Makcik memang sayang dia macam anak sendiri, dia pula layan kami dengan baik, makcik memang tak sangka benda akan jadi seteruk ini," katanya dalam keadaan sebak.

Saudara mara mula mengunjungi rumah mangsa di Kampung Bendang Baru Simpang Empat.
Saudara mara mula mengunjungi rumah mangsa di Kampung Bendang Baru Simpang Empat.



Ibu kepada empat cahaya mata ini menambah, anak bongsunya itu (mangsa) merupakan seorang suri rumah dan hubungannya dengan suspek baik malah tiada pertengkaran berlaku.

"Anak sedang hamil lima bulan, setiap kali pemeriksaan perut suami dia yang akan bawa, mereka tidak ada masalah dan nampak bahagia saja sejak berkahwin dua tahun lalu.

"Tapi mungkin ini ujian untuk kami sekeluarga, makcik reda cuma berdoa semoga makcik kuat hadapi dugaan ini," katanya.

Che Mas berkata, jenazah Safsufarnisya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat di sini setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Dalam kejadian pada Ahad, wanita berusia 26 tahun itu maut selepas ditembak dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 7.26 pagi.