Mentega Terbang: Polis buka kertas siasatan

PDRM telah menerima sebanyak lapan laporan, di mana satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem Mentega Terbang.
PDRM telah menerima sebanyak lapan laporan, di mana satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem Mentega Terbang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak lapan laporan, di mana satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem Mentega Terbang.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) akta yang sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyerahkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap produksi filem tersebut.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Finas kini sedang meneliti dan menyiasat aspek perlanggaran peraturan yang dilakukan produksi tersebut.

Sebelum ini, tular sedutan babak dalam filem tersebut yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islam untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan netizen yang mempersoalkan bagaimana filem sebegitu dibenarkan untuk tontonan umum.