Menu kampung 'harga kayangan' jadi kegilaan

Pelanggan sanggup membayar harga tidak masuk akal demi merasai suasana yang ditawarkan peniaga. Gambar hiasan 123rf.
Pelanggan sanggup membayar harga tidak masuk akal demi merasai suasana yang ditawarkan peniaga. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

KETIKA kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah berharga RM5 ke bawah untuk keluarga atau individu yang bergelut membeli barang pada harga murah, masih ada peniaga kreatif yang mempertaruhkan konsep hidangan kampung dengan harga kayangan.

Menggunakan peralatan seperti gelas, pinggan dan dulang tahun 1950-an hingga awal 1970-an memang menarik sehinggakan pelanggan sanggup membayar harga tidak masuk akal.

Ternyata idea golongan peniaga itu mendapat sambutan dan siapa boleh menyangkal jika golongan B40 juga 'terjebak' kerana semua itu merupakan kenangan yang tidak boleh diulang.

Kita juga tidak boleh menafikan pengalaman peniaga yang lebih banyak berurusan serta tahu kehendak semasa pelanggan.

Semua itu adalah hasil penat lelah mereka mencari konsep berniaga yang di luar kebiasaan demi kelangsungan perniagaan.

Ada antara mereka mungkin berhabis wang untuk membeli peralatan menghidang yang kini boleh mencecah ratusan ringgit termasuk sudu, garfu dan bekas nasi tambah.

Pada zaman teknologi yang dipenuhi bangunan berbatu, ramai yang mencari teratak indah di tepi sawah, pangkin kecil di bawah pohon dan rimbun hutan di tepi sungai untuk berehat bersama keluarga.

Ya, tidak boleh dinafikan keseronokan menikmati hidangan di rumah berdinding buluh, bertangga kayu dan beratap zink dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Ada yang teruja makan bersimpuh dan bersila dan menu pula sudah tentu tempoyak, cencaluk dan budu bersama ulam-ulaman.

Itulah nikmat yang dicari pelanggan untuk melupakan seketika kesibukan kerja terutama selepas penat bekerja di kota.

KISAH LALU

Sambil bersantai menikmati hidangan, kita boleh bercerita tentang indahnya berlari di sawah atau kebun getah. Pastinya panjang kisah masa lalu.

Paling epik disediakan juga kendi tempat mencuci tangan, gayung dan tempayan untuk mencuci kaki atau mangkuk tingkat tempat menghidang makanan.

Justeru, mereka sanggup 'menutup mata' mengeluarkan wang dari poket untuk harga makanan yang mahal.

Ada juga pelanggan yang mahu mengenang kembali nostalgia zaman kecil bersama keluarga atau meraikan hari istimewa dengan berkongsi kehidupan silam bersama anak-anak.

Mungkin ada antara kita yang fikir tidak logik harga menu seperti sayur masak lemak mencecah RM10 hingga RM15 sepinggan manakala seekor ikan selayang goreng 'bodo' sama harga burger makanan segera popular.

Namun, itulah hakikat bahawa masih ada yang sanggup membayar 'suasana' kerana mahu lari daripada kehidupan harian terutama ketegangan kerja.

Menu dan suasana kampung seperti itu juga mudah tular dan secara tidak langsung boleh membantu mempromosikan restoran atau kafe berkenaan.

Secara tidak langsung, kita boleh popularkan sayur lemak putih atau kolok, masak lemak cili padi, sayur hijau tempoyak atau daging salai kepada pelancong.

Jadi, apa kata kerajaan menyenaraikan restoran seperti ini dalam kalendar pelancongan negara kerana pada masa sama boleh memperkenalkan menu asli kampung-kampung di negara ini.

Bagaimanapun, bagi kita yang tidak mampu boleh saja memilih Menu Rahmah kerana ada juga yang menyediakan masakan kampung.

Kita boleh membungkus makanan dan berkelah di lokasi yang punya suasana sama.

Kedengaran lucu tapi hakikatnya kita boleh 'menyelamatkan' poket dan tetap dapat menikmati alam semula jadi indah tanpa perlu berhabis.

Menu Rahmah yang diperkenalkan pada 31 Januari lalu disediakan di lebih 15,000 premis di seluruh negara. Ada penambahbaikan daripada peniaga kerana mereka juga mahu menarik pelanggan dan pada masa sama mengelakkan kerugian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini berkata, walaupun ada persepsi bahawa menu itu tidak berkualiti kerana hanya berharga RM5, namun tetap menarik orang ramai berkunjung ke premis yang menyediakan menu itu.

Menteri itu juga memaklumkan menu tersebut bukan rentetan daripada Menu Bajet sebelum ini.

Jadi, kita yang tidak mampu boleh membeli Menu Rahmah dan cipta suasana, bagi mereka yang berpoket penuh boleh terus menikmati menu kampung dengan membayar suasana.

*Aswany Omar ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan