Terkandas akibat banjir kilat

Pengguna jalan raya terpaksa menunggu dan ada yang berpatah balik apabila persimpangan tiga berhampiran Alam Budiman dilanda banjir kilat. (Gambar ihsan orang ramai)
Pengguna jalan raya terpaksa menunggu dan ada yang berpatah balik apabila persimpangan tiga berhampiran Alam Budiman dilanda banjir kilat. (Gambar ihsan orang ramai)
A
A
A

ALAM BUDIMAN - Ribuan pengguna Jalan Persiaran Mokhtar Dahari terkandas lebih 45 minit apabila persimpangan lampu isyarat di kawasan itu ditenggelami banjir kilat kira-kira jam 5 petang, tadi.

Laluan persimpangan tiga itu dinaiki air selepas hujan lebat sekali gus mengundang masalah kepada pengguna terutamanya penunggang motosikal dan kenderaan ringan meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, jalan terbabit mulai surut kira-kira jam 6 selepas hujan reda dan situasi itu turut dikongsi netizen yang melalui WhtsApp dan Facebook.

Seorang pengguna yang juga penduduk Puncak Alam, Fara Dina Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Sunway Medical Centre.

"Saya dalam perjalanan balik ke Puncak Alam selepas suami jalani terapi fisiologi dan masa tu memang cuaca hujan... air dah mencurah laju dari Puncak Perdana lagi.

"Terkejut bila turun bukit melepasi Alam Budiman, air naik di persimpangan tu. Saya memang tak tunggu lama sebab tahu kereta tak lepas dan buat pusingan U patah balik lalu Lebuhraya Guthrie.

Hujan lebat menjadikan kawasan rendah di persimpangan tiga ini dinaiki air. (Gambar ihsan orang ramai)
Hujan lebat menjadikan kawasan rendah di persimpangan tiga ini dinaiki air. (Gambar ihsan orang ramai)

"Memang banyak kenderaan terkandas lebih-lebih kawasan Alam Budiman... nasib baiklah kami selamat sampai ke Puncak Alam, "katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Alam Budiman yang juga AJK persatuan penduduk, Khairil Nizam Saderi, 44, berkata, kejadian banjir kilat ini pernah berlaku sebelum ini bagaimanapun tidak seteruk seperti yang berlaku hari ini.

"Mungkin aliran air masuk ke longkang besar agak lambat sebab saya ada periksa kawasan longkang sepatutnya tiada masalah. Mungkin air dari laluan bukit mencurah deras menjadikan aliran keluar lambat.

"Hujan lebat lebih sejam memang akan banjir kilat tapi selalunya surut cepat. Saya pun bimbang sebab ada tiga kereta terkandas sebab enjin masuk air.

"Kebetulan kawasan ni menurun bukit malah persimpangan di hadapan pun kena banjir kilat sebab rendah...kalau boleh pemaju kena peka perkara ini supaya kejadian tidak berulang," katanya.

#alambudiman Lebih ribuan pengguna Jalan Persiaran Mokhtar Dahari terkandas lebih 45 minit apabila persimpangan lampu isyarat di kawasan itu ditenggelami banjir kilat kira-kira jam 5 petang, tadi. Laporan MOJO Sinar Harian Kuala Selangor, Arziana Mohmad Azaman

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Monday, April 22, 2019