Peruntukan RM3 juta atasi kesesakan Persiaran Mokhtar Dahari
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membina lorong tambahan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di sini bagi menangani kesesakan terutama pada waktu puncak.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, projek itu perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan keresahan kira-kira 100,000 pengguna yang melalui jalan itu pada setiap hari.
Menurut beliau, projek berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana dan Alam Budiman itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sejak bulan lalu itu mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
"Projek fasa pertama ini melibatkan tambahan satu lorong segera dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
"Projek ini diharap mampu mengurangkan kesesakan teruk di laluan lebih satu kilometer (km) tersebut," katanya selepas meninjau projek itu di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Rabu.
Jelas Izham, fasa kedua turut akan dilaksanakan melibatkan pembinaan satu lagi lorong baharu di laluan tersebut.
Katanya, projek jangka masa panjang itu menelan belanja kos RM20 juta itu bagaimanapun perlu ditanggung sepenuhnya oleh dua pemaju perumahan berkaitan.
"Ini menjadikan laluan itu akan menjadi tiga lorong sekali gus bakal menyelesaikan isu kesesakan tersebut," ujarnya.
Tambah beliau, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan tidak melibatkan pengambil alihan tanah.
"Saya meminta pengguna dapat bersabar dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab untuk membina lorong baharu.
"Masalah ini tidak dapat dielak berikutan peningkatan mendadak kuantiti kenderaan dan pembukaan laluan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) selain peningkatan pembinaan kawasan perumahan di kawasan ini," katanya.