Lapan PPS kekal sedang dibina bantu mangsa banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media ketika lawatan kerja di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada Ahad. - Foto Bernama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media ketika lawatan kerja di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada Ahad. - Foto Bernama.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan sedang membina lapan dewan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di sekolah yang sering dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif mewujudkan PPS kekal itu diputuskan Jawatankuasa Bencana Pusat yang dipengerusikannya berikutan terdapat lokasi sering dilanda banjir.

Beliau memaklumkan, PPS kekal terbabit dibina untuk keselesaan dan kemudahan mangsa banjir menggunakan peruntukan sedia ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Negeri-negeri yang biasa terkena banjir, sekolah dijadikan sebagai PPS. Jikalau sekolah itu digunakan sebagai PPS, ada tandas tetapi tidak ada tempat mandi di sekolah itu.

"Dengan pembinaan dewan itu, (akan) ada tandas, ada tempat mandi dan mereka yang ditempatkan itu dapat menggunakan kemudahan itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata sedemikian pada sidang media selepas sesi taklimat sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid memberitahu, dewan yang dibina akan diuruskan sekolah namun pelajar sekolah terbabit juga boleh menggunakan kemudahan disediakan dan dewan itu ketika luar musim banjir.

"Ketika luar musim, dewan dan kemudahan itu boleh digunakan oleh sekolah. Ini pendekatan baru yang kita lakukan," katanya tanpa menyatakan lokasi lapan PPS kekal itu.

Beliau menganggarkan, kira-kira 1,000 sekolah kerap dijadikan PPS ketika musim banjir di beberapa negeri namun pembinaan dewan ini akan mengikut keutamaan di kawasan sekolah yang akan dikenal pasti.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, koordinasi antara agensi yang berkaitan sentiasa dilakukan ketika banjir melanda beberapa negeri ketika ini bagi memastikan bantuan lebih cepat dan berkesan dapat disampaikan kepada mangsa banjir.

"Sebagai contoh, ketika saya ke Selancar, Rompin baru-baru ini, ada jalan yang terputus dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 72 jam, dengan kerjasama antara Rejimen Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kerja Raya manakala peruntukan daripada Nadma," katanya.