KKDW sedia tambah peruntukan pembangunan luar bandar Kedah

Ahmad Zahid (dua dari kiri) pada sidang media selepas sesi taklimat di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, pada Ahad.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) pada sidang media selepas sesi taklimat di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi jaminan usaha pembangunan luar bandar di Kedah tidak terjejas walaupun kerajaan negeri berbeza dengan kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan itu sama sekali tidak akan memberi kesan kepada usaha pembangunan di negeri ini.

"Walaupun kita tahu Kedah tidak sama dengan kerajaan Persekutuan, namun ini tidak menjejaskan tanggungjawab kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi membantu pembangunan di kawasan-kawasan di bawah tanggungjawabnya.

"Untuk itu, pihak kementerian khususnya Ketua Setiausaha KKDW dan pegawai-pegawai KKDW akan membantu untuk menambahkan belanjawan 2024," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi taklimat bersempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamaruddin Abd Akib.

Menurut Ahmad Zahid, kementerian sedia mempertimbangkan tambahan peruntukan itu, asalkan KEDA dapat memberi justifikasi mengenai projek dan perancangan baharu dan ke hadapan bagi membolehkan agensi itu terus memacu pembangunan di kawasan terlibat.

Beliau mengakui terdapat beberapa kekangan dalam usaha pembangunan luar bandar di Kedah seperti tanah berselerak dan tidak tertumpu, bagaimanapun KKDW akan berusaha membantu untuk mengatasi permasalahan itu dan memajukan negeri ini.

Sehingga kini, sebanyak RM62.19 juta diperuntukkan dalam bajet pembangunan untuk tahun 2023 meliputi sektor prasarana, ekonomi, keusahawanan dan modal insan.

Peruntukan diterima KEDA ini yang tertinggi di antara Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) lain di bawah KKDW bagi tahun ini.

Ahmad Zahid memaklumkan, KEDA juga telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.23 bilion dalam tempoh 41 tahun beroperasi.

Menurut beliau, antara usaha pembangunan luar bandar dilaksanakan KEDA termasuklah menggalakkan aktiviti pertanian bagi keterjaminan makanan dengan kawasan seluas 340.6 hektar di bawah program KEDA Food Security dalam membantu negara mencapai Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030.

Jelas beliau, antara usaha pembangunan luar bandar lain termasuklah projek pemulihan dan menaik taraf sawah dan tanah terbiar di kawasan terpencil di bawah KEDA ini telah disenarai pendek projek 'quick win' KKDW yang memanfaatkan 1,692 penerima dengan tanah seluas 1083.6 hektar.

"Ini bukan agenda politik tetapi agenda untuk membantu rakyat bagi mewujudkan kawasan-kawasan yang boleh dibangunkan dan dimanfaatkan sepenuhnya tanah-tanah yang terbiar itu," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya juga akan mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi untuk melaksanakan pembangunan tanah terbiar itu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan, terdapat beberapa pendekatan yang harus dilakukan oleh KEDA untuk kembali ke landasan penubuhannya sejak ditubuhkan pada 1981 sehingga kini demi memastikan matlamat penubuhan tercapai.

"Jikalau belum tercapai atau jika pencapaiannya tidak mengikut penanda aras yang ada, maka KEDA dengan bantuan KKDW perlu menongkah lebih ke hadapan dan lebih pantas dalam keluarbiasaan.

"Apabila kadar luar biasa maka tindakan-tindakan mesti dilakukan secara luar biasa dan oleh demikian saya mempunyai harapan yang tinggi kepada KEDA yang berpotensi untuk berprestasi bagi membantu negeri Kedah," katanya.