Ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

Kenyataan Ustaz Wadi Annuar di Facebook pada Ahad.
Kenyataan Ustaz Wadi Annuar di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua kuliah ceramah pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar di Selangor pada 10 dan 11 Mac depan telah dibatalkan.

Dua lokasi tersebut ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, Ustaz Wadi dalam siaran di Facebook tidak mendedahkan sebarang alasan berhubung pembatalan ceramah di kawasan berkenaan.

Menurut perkongsian tersebut, sesi ceramah beliau bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan kekal berjalan seperti biasa.

“Dimaklumkan bahawa semua ceramah Ustaz Wadi Annuar bertempat di negeri Selangor telah dibatalkan.

“Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa.

“Segala kesulitan amat dikesali. Semoga ALLAH SWT memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.

Senarai ceramah Ustaz Wadi Annuar.
Senarai ceramah Ustaz Wadi Annuar.

Sebelum ini, pembatalan ceramah penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah Maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Pada 26 Februari, meskipun terpalit kontroversi tersebut, namun Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan itu dihadiri oleh ribuan jemaah.