Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

Balai Polis Panchor ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter pada Sabtu.
Balai Polis Panchor ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Balai Polis Panchor di Jalan Abd Rahman, Panchor di sini ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan diarahkan tutup kira-kira jam 9 pagi selepas paras air semakin tinggi.

"Sebarang urusan termasuk melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

"Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar-Labis, Kampung Jawa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.

Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran hujan berterusan daerah ini akan berlaku sehingga 4 Mac ini.

Raiz Mukhliz memberitahu, sehingga jam 1 tengah hari Sabtu, 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah ini.

Katanya, seramai 3,278 mangsa banjir melibatkan 952 keluarga telah berdaftar ke PPS.

Selain itu menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, sebanyak tujuh jalan ditutup selepas terjejas dengan banjir.

"Jalan berkenaan melibatkan Jalan Muar-Labis di Kampung Jawa, Jalan Muar-Labis (Speedmart Lenga), Jalan Muar-Labis (jambatan Sungai Tui), Jalan Tekam Pagoh (kebun kelapa sawit) dan Jalan Durian Chondong (jambatan Sungai Muar)," ujar beliau.

Katanya, turut ditutup Jalan Renchong-Gombang (Sungai Menchil) dan Jalan Kampung Liang Batu (Masjid Kampung Liang Batu).

"Polis menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air.

"Berhati-hati dalam pemanduan dan mematuhi sebarang tanda amaran yang diletakkan di kawasan banjir," katanya.