Khemah di pantai PD: Tak semua terganggu, masih ada permintaan

Deretan khemah sewa yang diletakkan di persisiran pantai. - Foto Bernama. (Gambar kecil: Mohd Zamri)
Deretan khemah sewa yang diletakkan di persisiran pantai. - Foto Bernama. (Gambar kecil: Mohd Zamri)
A
A
A

PORT DICKSON - Isu khemah biru di pantai Teluk Kemang di sini bukanlah perkara baharu dan sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, bagaimanapun pihaknya membenarkan kira-kira 40 pengusaha khemah sewa di pantai terbabit meneruskan perkhidmatan mereka kerana adanya permintaan.

"Bukan semua pengunjung yang rasa terganggu dengan perkhidmatan khemah di situ kerana ada yang memang memerlukan kemudahan itu untuk mereka berkelah dalam keadaan yang lebih selesa.

"Tapi saya tidak nafikan kehadiran banyak khemah di situ membuatkan pengunjung rasa pemandangan mereka terganggu terutama apabila orang ramai bila cuti panjang atau hujung minggu berbanding hari biasa, " katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau juga mengakui sebelum ini pengusaha khemah akan membiarkan khemah mereka dipacak di situ seolah-olah itu adalah tempat mereka.

Pemandangan udara di sekitar persisiran pantai peranginan Port Dickson. - Foto Bernama
Pemandangan udara di sekitar persisiran pantai peranginan Port Dickson. - Foto Bernama

Bagaimanapun katanya, sejak peraturan dan penguatkuasaan dilakukan, kebanyakan pengusaha akur.

"Penguat kuasa kita juga akan melakukan pemantauan setiap hari di kawasan pantai dan jika didapati ada pengusaha yang ingkar dengan peraturan itu, khemah mereka akan dirampas atau disita.

"Kita juga akan ambil tindakan jika ada terima sebarang aduan daripada pelanggan berkenaan isu khemah biru," katanya.

Selain itu Mohd Zamri tidak menafikan isu khemah biru timbul semula apabila ada yang berkongsi rungutan mereka di media sosial sehingga menjadi perbualan hangat netizen.

Malah ujarnya, dakwaan mengatakan isu khemah menyebabkan orang ramai tidak mahu berkunjung ke Port Dickson juga adalah tidak tepat.

"Saya akui pengunjung berkurangan cuti sekolah kali ini, tapi ia disebabkan banyak faktor terutamanya orang mahu berjimat," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pengusaha khemah sewa di pantai terbabit menyangkal dakwaan yang pemasangan khemah sewa di situ adalah punca orang ramai tidak lagi berminat untuk datang ke pusat peranginan berkenaan.

Malah mereka mendakwa netizen sengaja menambah 'rencah' berkenaan isu kekurangan pengunjung ke Port Dickson pada cuti persekolahan kali ini sedangkan ia disebabkan ramai ibu bapa mengambil langkah untuk berjimat.