PD tak meriah bukan sebab isu khemah

Khemah biru yang dikatakan menjadi faktor pengunjung kurang ke Port Dickson.
Khemah biru yang dikatakan menjadi faktor pengunjung kurang ke Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengusaha khemah di Pantai Teluk Kemang di sini menyangkal dakwaan bahawa pemasangan khemah sewa di situ menjadi punca orang ramai tidak lagi berminat untuk datang ke pusat peranginan berkenaan.

Malah mereka mendakwa netizen sengaja menambah 'rencah' berkenaan isu kekurangan pengunjung ke Port Dickson pada cuti persekolahan kali ini sedangkan ia disebabkan ramai ibu bapa mengambil langkah untuk berjimat.

Ini kerana mereka perlu membuat persiapan persekolahan anak-anak apatah pula tidak lama lagi masyarakat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Pengusaha K Jiva, 54, berkata, tidak masuk akal mengatakan Port Dickson suram disebabkan pengunjung terganggu dengan kehadiran khemah.

Menurutnya, dia mengakui kehadiran pengunjung berkurangan pada cuti persekolahan kali ini, namun ia disebabkan masing-masing mengambil langkah untuk berjimat.

"Yelah, sesi persekolahan baharu akan dibuka pada 20 Mac dan tiga hari selepas itu umat Islam pula akan mula berpuasa.

"Jadi orang fikir dua kali kalau nak pergi bercuti. Saya pun ada anak-anak, jadi saya faham keadaan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jiva menyediakan perkhidmatan sewaa khemah sejak empat tahun lalu.
Jiva menyediakan perkhidmatan sewaa khemah sejak empat tahun lalu.

Berkenaan dengan isu khemah pula, Jiva berkata, dia tidak menafikan sebelum ini kebanyakan pengusaha memilih untuk mendirikan khemah meskipun waktu itu tiada penyewa.

Bagaimanapun katanya, mereka akur selepas Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) mengeluarkan peraturan pemasangan khemah di situ hanya dibenarkan apabila ada penyewa.

"Kalau nampak ada khemah dipasang itu, semuanya ada penyewa dan bagi saya khemah yang dipasang tak mengganggu pemandangan pengunjung," katanya.

Mohd Hafiz Taib, 28, pula berkata, kemudahan khemah disediakan adalah untuk keselesaan pengunjung dan tiada paksaan untuk mereka menggunakannya.

Malah katanya, dakwaan netizen yang ada pengusaha khemah memarahi pengunjung memasang khemah di situ adalah tidak berasas.

"Kami ini hanya sediakan perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukan. Kami sedih juga bila orang tuduh isu khemah jadi punca orang tak nak datang ke Port Dickson.

"Ia memang tak logik langsung. Kena ingat, anak-anak memang sedang bercuti, tapi ibu bapa tetap bekerja seperti biasa dan tidaklah sepanjang cuti sekolah itu sepanjang pantai ini penuh saja, " katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya kata Mohd Hafiz, pada setiap Isnin hingga Jumaat kehadiran pengunjung agak berkurangan tetapi pada Sabtu dan Ahad keadaannya agak meriah.

Sementara itu, Che Asraf Che Mazlan, 28, pula kesal netizen memburukkan pengusaha khemah di media sosial.

"Saya tahu, kebanyakan netizen yang komen di media sosial, memburukkan pengusaha khemah ini hanya untuk menambah 'rencah' isu yang diperkatakan.

"Mereka ini pun agaknya datang ke Port Dickson lima tahun sekali, tapi bercakap seolah-olah setiap minggu datang ke sini sedangkan isu khemah ini dah selesai," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Nur Fazrina Mohd Hafiz, 33, pula berpendapat, pemasangan khemah di situ tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia untuk kegunaan pengunjung yang memerlukan.

"Kalau cuaca redup memang tiada masalah untuk kita duduk berkelah dan mandi di pantai ini dengan hanya membentang tikar.

"Tapi kalau panas, memang tak tahan kerana di sepanjang pantai ini tiada pokok untuk berteduh. Jadi ikut pilihan masing-masing," jelasnya.

Mohd Emizal memeriksa bot pisangnya.
Mohd Emizal memeriksa bot pisangnya.

Pengusaha bot pisang, Mohd Emizal Rosli, 41, turut mempunyai pandangan sama yang isu khemah biru bukanlah faktor utama menyebabkan pengunjung tidak mahu datang ke pantai berkenaan.

Katanya, orang ramai perlu berjimat kerana perlu membuat persiapan persekolahan anak-anak dan tidak lama selepas itu persiapan Aidilfitri pula.

"Dari hari pertama cuti sekolah ini sehingga hari ini (Rabu) saya boleh katakan banyak termenung dan ada satu hari itu memang tiada pelanggan langsung.

"Tapi kita fahamlah orang sekarang nak berjimat dan sebelum ini pun kita banyak kali cuti panjang dan waktu itu orang dah pun berhabis untuk bercuti," katanya.