Ebit Lew selamatkan lembu daripada lemas

Ebit melambai ke arah lembu berkenaan setelah berjaya dibawa ke tempat yang selamat. Ebit (kanan) menarik lembu ke tempat yang selamat.
Ebit melambai ke arah lembu berkenaan setelah berjaya dibawa ke tempat yang selamat. Ebit (kanan) menarik lembu ke tempat yang selamat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pendakwah terkenal, Ebit Lew pada Jumaat, menarik perhatian ramai apabila memuat naik video menerusi aplikasi TikTok menyelamatkan seekor lembu yang hampir lemas dibawa arus banjir.

Video berdurasi 58 saat itu memaparkan Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew yang menaiki bot bersama dua lagi lelaki dipercayai sedang melakukan tinjauan banjir di sekitar Segamat telah menyelamatkan lembu berkenaan menggunakan tali dan menariknya hingga ke kawasan yang selamat.

Ebit turut memuat naik kapsyen ringkas yang keseluruhannya menggambarkan rasa syukur kerana berjaya menyelamatkan lembu berkenaan daripada lemas.

“Sedih tengok lembu dah nak lemas semalam dekat Segamat. Alhamdulillah, dapat bantu tarik ke atas,” katanya menerusi kapsyen berkenaan.

Video berkenaan berkenaan mendapat sebanyak 4,687 tanda suka daripada netizen yang turut memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen.

Rata-ratanya melahirkan rasa terharu dan menyifatkan haiwan berkenaan bakal menjadi saksi (di akhirat) terhadap Ebit atas tindakan yang dilakukannya itu.

Untuk rekod, daerah Segamat ketika ini merupakan daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Johor dengan merekodkan seramai 12,258 mangsa daripada 3,511 keluarga.

Kesemua mangsa berkenaan kini ditempatkan di 78 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.