Pasangan kekasih ditahan ragut warga emas

Cheng San menunjukkan imej tangkap layar kejadian samun yang tular di media sosial pada sidang akhbar pada Jumaat.
Cheng San menunjukkan imej tangkap layar kejadian samun yang tular di media sosial pada sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes samun jalanan bermotosikal di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun ditahan di Penang Sentral selepas pulang dari ibu negara menggunakan bas ekspres pada jam 6 pagi, 27 Februari lalu.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menahan teman wanitanya berusia 23 tahun di tempat kerjanya iaitu di sebuah rumah urut di Juru pada jam 3.30 petang Khamis.

"Kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun yang dibuat oleh seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun. Dalam kejadian pada jam 11 pagi, 10 Februari lalu, mangsa didatangi seorang lelaki warga tempatan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 di Bukit Tengah.

"Suspek berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada mangsa dan ketika mangsa leka memberitahu arah jalan seperti yang ditanya, suspek telah meragut rantai leher yang dipakai mangsa.

"Mangsa cuba untuk mengejar suspek namun gagal selepas suspek memecut laju motosikalnya. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada jam 7 petang, hari sama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini pada Jumaat.

Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan barang-barang yang dirampas.
Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan barang-barang yang dirampas.

Beliau menambah, selain pasangan tersebut, polis turut menahan tiga pemilik kedai emas dan pajak gadai berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun.

"Ketiga-tiga pemilik kedai emas dan pajak gadai ini ditahan untuk diambil keterangan kerana memiliki barang salah. Jumlah gadaian yang dibuat oleh suspek bernilai RM6,000.

"Siasatan mendapati, suspek lelaki bekerja di sebuah kilang di Perai. Mereka berdua menjalankan kegiatan sejak awal Januari lalu yang mana, suspek lelaki membayar RM200 kepada teman wanitanya sebagai upah untuk menggadai barang kemas yang disamun," katanya.

Cheng San berkata, ujian saringan air kencing suspek lelaki positif dadah manakala suspek wanita negatif.

"Suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan lima kes jenayah dan dua dadah manakala suspek wanita mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod dadah. Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kita berjaya menyelesaikan tiga kes samun jalanan di daerah ini dan Kulim, Kedah.

"Suspek lelaki direman sehingga Isnin ini manakala teman wanitanya sehingga Selasa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Jelas beliau, polis turut merampas beberapa barangan termasuk barang kemas, tayar motosikal, topi keledar dan motosikal untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Cheng San berkata, keadaan keselamatan di daerah SPT tidak membimbangkan apabila jumlah indeks jenayah bagi tahun lalu mencatatkan 928 kes.

Kata beliau, dengan jumlah itu, ia menjadikan statistik indeks jenayah bagi tahun lalu menurun 52 peratus berbanding pada tahun 2021.