Nazri ke AS misi bantu pulihkan imej Malaysia

Nazri. - Foto Bernama.
Nazri. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, antara keutamaan beliau adalah untuk membantu memulihkan semula imej Malaysia di AS yang tercalar akibat skandal 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas yang berusia 69 tahun itu belepas ke AS pada Khamis dan akan memulakan tugas di Washington DC pada 8 Mac.

Mohamed Nazri yakin pengalaman luas semasa berkhidmat dalam kerajaan Malaysia di bawah pelbagai kapasiti termasuk sebagai menteri kabinet akan membantu beliau melaksanakan tugas yang sukar itu.

"Saya rasa banyak yang perlu dilakukan dalam misi saya di AS terutama dalam memulihkan imej Malaysia yang tercalar akibat skandal 1MDB. Isu ini telah memberikan gambaran buruk kepada Malaysia,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

Skandal 1MDB itu telah menyaksikan Jabatan Kehakiman AS merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB yang dicuri tetapi mengembalikan wang itu kepada kerajaan Malaysia sejak 2016.

Pembiaya AS Goldman Sachs dan banyak lagi turut terlibat dalam skandal itu.

Skandal itu juga menyebabkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disabitkan bersalah pada Ogos 2022 dan kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Bagi membersihkan imej Malaysia di AS, Mohamed Nazri turut mahu menangani isu lain yang masih menjadi pertikaian dalam hubungan AS-Malaysia terutama isu hak asasi manusia yang melibatkan pekerja asing di Malaysia.

"Ada perkara yang syarikat Malaysia rasakan ia perkara biasa, namun dari sudut pandangan AS, ia melanggar hak asasi manusia ke atas pekerja asing dan isu ini boleh ditangani," katanya sambil menambah beliau juga mahu menjelaskan mengenai isu buruh paksa di Malaysia yang melibatkan kanak-kanak dalam sektor perladangan.

Beliau juga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) AS. Malaysia kini berada di kedudukan Tahap Tiga TIP 2022.

"Matlamat saya adalah untuk meningkatkan kedudukan Malaysia kepada Tahap 2 dan secara beransur-ansur ke Tahap 1 dalam senarai pemerhatian (AS)," katanya.

Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata semua isu tertangguh antara Malaysia dan AS yang masih belum diselesaikan akan dibincangkan pada "mesyuarat Kabinet” mingguan yang beliau rancangkan di Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Mengenai beberapa pihak yang cuba menimbulkan isu mengenai pelantikannya dengan mengatakan beliau tidak sesuai untuk jawatan itu kerana tidak mempunyai latar belakang diplomatik, Mohamed Nazri berkata isu itu tidak wajar memandangkan rekod menunjukkan bahawa beberapa pendahulunya adalah ahli politik. termasuk Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis.

Sebaliknya, beliau berpendapat pelantikan wakil Malaysia ke pejabat perwakilan asing di luar negara tidak sewajarnya terhad kepada pegawai diplomat sahaja.

Ahli politik berpengalaman yang telah mengetuai Umno bahagian Padang Rengas selama hampir 20 tahun itu berkata 'diplomasi bidang yang bukan asing buat dirinya'.

"Ahli politik mesti berbaik dengan semua orang dan anda tidak boleh berbuat jahat kepada orang jika mahukan undi rakyat...Saya sendiri bertanding enam kali dalam pilihan raya umum dan memenangi setiap kali saya bertanding dan ini menggambarkan betapa diplomatiknya saya terhadap pengundi saya," kata beliau yang tidak bertanding semula semasa pilihan raya umum ke-15.

Beliau yang akan berkhidmat di AS selama dua tahun turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikan itu.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS terjalin selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

AS kini merupakan rakan kongsi perdagangan global dan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia, manakala Malaysia ialah rakan dagang ke-17 terbesar AS. - Bernama.