Sindiket seleweng diesel tumpas

Norena melihat tanker yang dijadikan tempat simpanan diesel di sebuah gudang di Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pada Khamis.
Norena melihat tanker yang dijadikan tempat simpanan diesel di sebuah gudang di Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas kira-kira 26,000 liter disyaki minyak diesel selepas serbuan dilakukan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pada malam Rabu.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata, seramai lima pekerja termasuk seorang warga asing berusia antara 25 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan jam 8.30 malam yang turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati aktiviti penyelewengan diesel itu aktif sejak tiga bulan lalu di gudang terbabit.

"Anggaran rampasan lebih kurang hampir RM400,000 dan terdapat tanker minyak berkapasiti penuh yang akan bersedia untuk bergerak.

"Semasa serbuan di gudang, kita berjaya menghalang tanker itu keluar dari kawasan simpanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di gudang simpanan terbabit, di Bukit Rambai di sini, pada Khamis.

Jelas Norena, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki, lori tiga tan, kereta mewah dan motosikal selain pelbagai alat mengepam minyak serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir RM400,000.

Ujar beliau, modus operandi sindiket terbabit dengan membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan sebuah lori tiga tan di stesen minyak sekitar negeri ini.

Katanya, dipercayai sindiket terbabit memasarkan minyak diesel kepada sektor industri dengan harga lebih rendah iaitu kira-kira RM1.50 seliter berbanding RM3.20 seliter di pasaran biasa.

"Lori terbabit akan kembali ke gudang untuk memindahkan diesel ke sebuah lori tangki berkapasiti 23,000 liter sebelum dipasarkan ke kilang industri sekitar Melaka.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik gudang dan dalang sindiket terbabit yang dikatakan pernah melakukan kesalahan berulang," katanya lagi.

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika kesalahan kali kedua dan seterusnya, suspek boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.