Budak lelaki buta akibat kanser otak

Rafa Alauddin dikesan menghidap kanser otak pada September tahun lalu.
Rafa Alauddin dikesan menghidap kanser otak pada September tahun lalu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang penglihatan sejak menghidap kanser Pilocystic Astrocytoma atau kanser otak pada September tahun lalu.

Rafa Alauddin Abdul Rauf yang baru sahaja menjalani pembedahan dan menjalani 13 kali kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) kini hanya terbaring dan perlu dipantau dari semasa ke semasa.

Ibunya, Noor Amira Saad, 28, mengakui sentiasa berdoa dan berharap ada keajaiban buat anak keduanya agar kembali pulih seperti sediakala.

"Dia tak macam budak-budak lain, budak-budak lain boleh berjalan tapi dia tak boleh. Sedih sangat sebab kecil lagi nak kena cucuk sana, cucuk sini. Dia nak kena hadap sakit waktu dia kecil.

"Harapan nak bagi dia sihat balik, tak kisah lah macam mana keadaan dia. Tak nampak ke, nampak ke, tak apa. Bagi sihat saja duduk dengan saya macam biasa," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Kubang Rotan, dekat sini baru-baru ini.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal yang menghulurkan sumbangan berupa susu khas, barangan keperluan dan wang tunai bagi mengurangkan bebanan ditanggung keluarga ini.

Abdul Rauf mencium Rafa Alauddin sambil diperhatikan oleh Noor Amira semasa ditemui di Kampung Pondok Kubang Rotan, Kuala Kedah baru-baru ini.
Abdul Rauf mencium Rafa Alauddin sambil diperhatikan oleh Noor Amira semasa ditemui di Kampung Pondok Kubang Rotan, Kuala Kedah baru-baru ini.

Noor Amira berkata, anaknya itu adalah seorang yang periang dan sentiasa menceriakan keluarga mereka sebelum didiagnos mempunyai ketumbuhan dalam otak.

Ujarnya, Rafa Alauddin perlu melengkapkan rawatan 13 kimoterapi lagi di HPP bagi merawat penyakit tersebut.

Sementara itu, bapanya, Abdul Rauf Nordin, 28, menjelaskan, setiap bulan mereka perlu menyediakan lebih kurang RM300 kos perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan di HPP.

"Kos tu pergi dan balik sekali dengan kos seperti makan minum. RM300 itu pun cukup-cukup, kadang-kadang sangkut. Kadang-kadang terpaksa minta tolong dengan mak sendiri. Anak saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan semua digunakan untuk rawatannya.

"Bila melibatkan rawatan anak di Pulau Pinang, di tempat kerja saya terpaksa cari orang ganti. Kadang-kadang terpaksa keluarkan kos sendiri untuk bayarkan orang masuk ganti kita di tempat kerja," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan penderitaan Rafa Alauddin boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (02105023168544) atau menghubungi Noor Amira di talian 011-16445181.