'Sedia bincang bina LRT di Pulau Pinang'

Anthony (kanan) ketika mencuba perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen KTMB Bukit Mertajam.
Anthony (kanan) ketika mencuba perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen KTMB Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pengangkutan sedia berbincang bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pusat bandar Georgetown yang sentiasa menjadi tumpuan sering berdepan masalah kesesakan jalan raya dan memerlukan solusi.

"Georgetown menjadi pusat tumpuan menyebabkan berlakunya kesesakan teruk, menjadi harapan kerajaan negeri untuk membina sistem LRT untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kita sedang berbincang bagaimana untuk membantu Pulau Pinang berhubung perkara ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha melaksanakan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, projek terbabit sentiasa dalam senarai untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi dipertimbangkan dalam Bajet 2023 Persekutuan.

Menurutnya, dakwaan kononnya projek LRT tidak disenaraikan dalam pembentangan Bajet 2023 Persekutuan pada pertemuan dengan Menteri Kewangan pada Sabtu lalu tidak benar sebaliknya ia termasuk dalam 126 projek yang disenarai telah dikemukakan sebelum ini.

Pada 20 Julai tahun lalu, kerajaan negeri dilaporkan memulakan peringkat prakelayakan pelaksanaan komponen LRT Bayan Lepas bagi membolehkan syarikat berminat mengemukakan maklumat masing-masing berhubung pelaksanaan projek terbabit.

Projek LRT Bayan Lepas adalah satu daripada komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan ia adalah strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri berkenaan.