Seludup bijirin gandum tanpa permit dalam beg pakaian

Pegawai Maqis Pahang menunjukkan bijirin jagung yang dirampas selepas dikesan cuba dibawa masuk penumpang dari Myanmar hasil pemeriksaan harian di LTSAS di sini pada Selasa.
Pegawai Maqis Pahang menunjukkan bijirin jagung yang dirampas selepas dikesan cuba dibawa masuk penumpang dari Myanmar hasil pemeriksaan harian di LTSAS di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Pahang mematah cubaan membawa masuk 25 kilogram bijirin jagung tanpa permit import dan Sijil Fitosanitasi di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini pada Selasa.

Hasil pertanian itu dikesan cuba dibawa masuk penumpang dari Myanmar yang disembunyikan dalam beg pakaian bagi mengaburi pegawai penguat kuasa Maqis yang bertugas.

Maqis dalam kenyataan berkata, cubaan penumpang pesawat itu berjaya dikesan dalam operasi pemeriksaan harian di lapangan terbang itu.

"Perbuatan mengimport hasilan pertanian tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Bagi kesalahan itu, pihak terlibat boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pihak Maqis menasihatkan agar semua penumpang pesawat dari negara luar yang ingin membawa masuk produk-produk pertanian ke negara ini perlulah sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan.