'Negara tidak mampu maju jika tak martabat bahasa kebangsaan'

Abdul Hadi (tiga dari kiri) ketika Pelancaran ‘Buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang'.
Abdul Hadi (tiga dari kiri) ketika Pelancaran ‘Buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang'.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih tidak mampu menjadi negara maju disebabkan tidak memartabatkan bahasa kebangsaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, negara perlu mencontohi negara maju lain yang mana mendidik rakyat menggunakan bahasa kebangsaan sendiri.

“Malaysia tidak sampai tahap negara maju sedangkan hasil kita banyak. Kita ada sumber sendiri, tenaga manusia.

“Kita terletak di tempat yang paling strategik. Selat Melaka, Laut China Selatan. Tengah Asia Tenggara. Sepatutnya kita dapat menjana ekonomi, menampung pekerja dan segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Ulama Negarawan sempena Pelancaran Buku Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang di sini pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, peranan bahasa merupakan faktor penting dalam memajukan sesebuah negara.

“Kita melihat Korea, Jepun, Jerman, China bangkit dengan bahasa ibunda. Mereka didik rakyat, mengilmukan rakyat dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

“Kita tidak mendidik rakyat dengan bahasa kebangsaan kita. Kalau nak bijak, kena belajar bahasa Inggeris, bahasa asing,” ujarnya.

Beliau menambah, ketika kebangkitan Islam pada zaman dahulu, kesemua ilmu diterjemahkan kepada bahasa Arab.

“Walaupun dalam bahasa lain, mereka terjemah kepada bahasa Arab. Mereka mengilmukan rakyat dengan bahasa ibunda,” katanya.