Dua premis dikesan buat sambungan air haram

Pemeriksaan pegawai SPAN di premis perniagaan yang disyaki membuat sambungan haram bagi mendapatkan bekalan air.
Pemeriksaan pegawai SPAN di premis perniagaan yang disyaki membuat sambungan haram bagi mendapatkan bekalan air.
A
A
A

KLANG - Dua premis di Pulau Indah dekat sini dikenakan tindakan pemotongan bekalan air selepas disyaki membuat sambungan secara haram pada Selasa.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan selepas menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung aktiviti terbabit.

Menurutnya, premis pertama merupakan sebuah gudang simpanan kontena dan depoh lori dikesan melakukan sambungan menggunakan paip HDPE (High Density Poly Ethylene) berukuran 25 milimeter (mm) tanpa melalui meter yang sah.

"Sementara premis kedua merupakan bangunan asrama serta tempat pengumpulan barang-barang lusuh turut dikesan melakukan sambungan menggunakan paip HDPE berukuran 25, mm dari paip utama Air Selangor.

"Kedua-dua premis ini telah diambil tindakan penutupan punca bekalan air dan telah diberikan notis pemberitahuan kesalahan.

"Selain itu, pemilik dan penghuni kedua-dua premis akan disiasat di bawah Seksyen 123 (1), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), " katanya.

Tangki simpanan air di sebuah premis yang diperiksa menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Selasa.
Tangki simpanan air di sebuah premis yang diperiksa menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, SPAN sentiasa komited menjalin kerjasama bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar air tidak terhasil (NRW).

Justeru, sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang, pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel kepada aduan@span.gov.my.