Cek RM50,000 atas nama Asmadi untuk UMNO Bahagian Padang Serai

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Padang Serai Datuk Asmadi Abu Talib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, Datuk Seri Najib Razak memberikan sumbangan RM50,000 melalui cek atas namanya (Asmadi) bagi menjalankan program parti di kawasan itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi, Asmadi, 50, atau dikenali sebagai Cikgu Madi yang merupakan seorang pesara guru menjelaskan, beliau menerima sumbangan itu semasa bertemu Najib di Pejabat UMNO PWTC pada 2014.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memaklumkan, cek tersebut diterima selepas pertemuan secara peribadi.

"Dalam perjumpaan peribadi itu, saya menceritakan mengenai pengalaman dan apakah perancangan saya sebagai Ketua UMNO bahagian menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

"Saya menjelaskan, saya ada sedikit perancangan namun sebagai seorang guru terdapat kekangan untuk saya menjalankan program parti termasuk dari segi masa tenaga wang ringgit dan sebagainya,"ujarnya.

Menurutnya selepas menceritakan masalahnya, Najib kemudian memberikan semangat selain memberi sumbangan untuk bantu parti dalam bentuk cek.

"Cek tersebut berjumlah RM50,000 diberikan atas nama saya sendiri Asmadi bin Abdul Talib sebelum saya tunaikan dalam akaun Maybank saya yang bercawangan di Kulim High Tech".

Sementara itu, menjelaskan tentang program yang dilaksanakan di kawasan pentadbirannya, Asmadi berkata banyak program dilakukan termasuk program melibatkan sekolah, program kebajikan dan peruntukan yang dipohon Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan yang memohon kepada UMNO untuk kelancaran program.

Artikel Berkaitan:

"Ada pihak yang menghantar surat permohonan ada yang tak memohon melalui surat tetapi kalau ada program akan kita salurkan bantuan,"ujarnya.

Menjawab soalan Muhamad Saifuddin, Asmadi berkata, wang jumlah RM50,000 sudah habis digunakan.

Sementara itu, menjawab soalan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa sesi soal balas, dia yang mula memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Serai pada 2013, pertemuan dengan Presiden UMNO itu adalah sebagai tanda penghormatan dan memaklumkan presiden mengenai rancangan untuk parti.

"Kami berbincang Padang Serai merupakan kawasan Pas malah DUN Merbau Pulas merupakan kawasan PKR.

"Kami bincang bagaimana cara untuk mengembalikan kawasan itu kepada BN," katanya.

Jelasnya, banyak program perlu dilakukan termasuk perjumpaan dengan masyarakat setempat dan penerangan kepasa ahli parti.

Tambahnya beliau turut memaklumkan untuk memberi sumbangan untuk kawasan yang sering dilanda banjir dan ribut.

"Sebelum ini sebagai guru saya berjimat dengan duit gaji saya untuk berkhidmat jadi saya harap bantuan daripada UMNO tapi mencukupi," katanya.

Tambahnya beliau tidak pernah meminta dan menerima bantuan daripada menteri besar ketika itu iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Melalui sesi soal semula oleh Muhammad Saifuddin, Asmadi menjelaskan, cek tersebut tidak diisukan atas nama UMNO Bahagian Padang Serai namun ia dimaklumkan kepada pengurusan parti.

"Cek tidak dimasukkan ke akaun parti kerana ia akan membabitkan Mesyuarat Agung dan perlu disemak Juruaudit," katanya.