357 PBS terima elaun khas

Kor Ming memeriksa perbarisan pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling pada Selasa.
Kor Ming memeriksa perbarisan pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyalurkan pemberian elaun khas sebanyak RM3,000 kepada 357 pasukan bomba sukarela (PBS) seluruh negara pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu meningkat 100 peratus tahun ini berbanding RM1,500 pada tahun 2022.

Menurutnya, pemberian elaun khas itu akan digunakan untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi kecekapan dan perkhidmatan PBS kepada masyarakat.

Ujarnya, KPKT sentiasa komited memperjuangkan hal-hal berkaitan kebombaan dan penyelamatan.

"Kita akan berikan elaun khas PBS yang berkhidmat secara sukarela tanpa gaji.

"Jika tahun depan ekonomi negara mengizinkan, pihak KPKT akan menimbangkan lagi (jumlah peruntukan ini)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Balai Bomba Sri Petaling, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Kor Ming turut menjelaskan peruntukan elaun PBS itu dapat dilaksanakan melalui Bajet tambahan daripada Belanjawan 2023, yang memperuntukkan sebanyak RM206.64 juta bagi memperkasakan perkhidmatan bomba.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM46.51 juta diperuntukkan bagi perolehan peralatan dan kelengkapan untuk meningkatkan kecekapan dan tahap kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

"Selain itu, sejumlah RM18.2 juta peruntukan baharu telah diluluskan untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan.

"Sebanyak RM129.93 juta pula diperuntukkan bagi pembinaan bangunan JBPM baharu di seluruh Malaysia dan menaik taraf bilik siap siaga di balai bomba sedia ada, termasuk penyelenggaraan bangunan dan jentera bomba," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan juga akan menyalurkan elaun khas sebanyak RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terlibat di dalam misi menyelamat di Turkiye, termasuk 36 orang pegawai bomba yang turut serta.