Sekat peruntukan tidak ikut prinsip Islam, demokrasi - Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan melengahkan peruntukan di kawasan dan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang adalah tidak tepat dengan prinsip Islam serta demokrasi.

Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, perbuatan itu juga terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“ALLAH SWT tetap memberikan rezeki kepada seluruh hamba-Nya termasuklah kepada hamba-Nya yang derhaka melawan-Nya. Adapun kesalahan yang telah dilakukan itu akan dibuat perkiraan dalam aspek yang lain dengan pembicaraan yang adil.

“Selepas pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, inilah konsep demokrasi yang betul.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,” katanya ketika membahasakan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Tambah Abdul Hadi yang juga Presiden Pas, perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur iaitu Sarawak dan Sabah.

“Perkara tersebut katanya, berlaku sejak zaman penjajah lagi mengikut penyusunan masyarakat yang telah dibentuk oleh mereka bagi mewujudkan ketegangan pada masa hadapan, melalui kesempatan memeras semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, ia dilakukan bagi mengadu domba dalam kalangan mereka dengan meletakkan kaum Cina di kawasan bandar dan lombong, kaum India di kawasan estet dan membiarkan Melayu dan bumiputera di kawasan luar bandar, dengan mewujudkan jurang ekonomi dan sosial,” katanya.