Syarikat kondom lewat beri gaji diserbu

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor bersama Perkeso melaksanakan operasi di sebuah syarikat di Seri Kembangan pada Selasa.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor bersama Perkeso melaksanakan operasi di sebuah syarikat di Seri Kembangan pada Selasa.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Gaji diterima lewat selain tempat kediaman pekerja yang tidak teratur antara kesalahan yang dikesan dalam serbuan di sebuah syarikat kondom dan sarung tangan getah di sini pada Selasa.

Salah seorang pekerja tempatan yang ditemui berkata, gajinya sejak pertengahan tahun lalu sering lewat diterima hingga ke hari ini.

Menurut wanita berusia lingkungan 50-an itu, gaji bulan Januari baharu sahaja diterimanya pada minggu lalu.

"Pihak atasan beri alasan tidak cukup duit dan mereka juga tidak memberi makluman setiap kali pembayaran lewat.

"Bayaran untuk kerja lebih masa pada Jun sehingga September tahun lalu juga masih belum diterima," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati keadaan tempat penginapan pekerja asing dalam keadaan tidak teratur termasuklah dari segi kebersihan.

Papan pemotong dan pisau yang diletakkan di tempat tidur di hostel pekerja asing sebuah syarikat di Seri Kembangan.
Papan pemotong dan pisau yang diletakkan di tempat tidur di hostel pekerja asing sebuah syarikat di Seri Kembangan.

Tempat tidur juga dijadikan tempat untuk memotong sayuran dan lauk susulan penemuan papan pemotong dan pisau sebelum dimasak di ruangan dapur bersebelahan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Muhammad Rifaee Muhamad Saleh berkata, operasi pada jam 9.30 pagi ini dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 20 orang.

Katanya, antara kesalahan syarikat terbabit yang dikesan ialah gagal membayar gaji kerja lebih masa selain potongan gaji tidak sah.

"Selain itu dikesan kesalahan kerana tidak membuat perakuan penginapan selain penginapan yang tidak mengikut spesifikasi dari segi keluasan tempat tidur, almari pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, tindakan akan diambil di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] serta Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Ujar beliau, rakaman percakapan pekerja serta pemilik syarikat telah diambil untuk siasatan lanjut.

"Pemilik syarikat boleh dikenakan denda RM50,000 sekiranya didapati bersalah," ujarnya.

Selain itu, antara kesalahan yang dikesan pihak Perkeso adalah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 Akta serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kerana syarikat terbabit gagal mencarum untuk beberapa tahun.