Kisah Anwar dan Melayu Semenanjung

LIDAH PENGARANG

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SEUSAI pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, maka semalam genaplah 100 hari beliau menjawat jawatan nombor satu negara.

Nampak sesuai pemilihan tarikh pengumuman belanjawan dengan peristiwa 100 hari ini kerana tumpuan akan terus terarah kepada sosok Ahli Parlimen Tambun itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kaji selidik Tinjauan Rakyat Malaysia yang dijalankan lima media arus perdana iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Malaysia mendapati responden Melayu di Semenanjung Malaysia masih ‘belum menerima’ sepenuhnya Anwar dan kerajaan pentadbirannya.

Persepsi yang rendah daripada kalangan Melayu menjadikan cabaran besar kepada pentadbiran Anwar.

Sebenarnya, kepercayaan pengundi Melayu pada Anwar terpamer sejak awal lagi iaitu ketika keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila ada negeri-negeri yang dimenangi mutlak Perikatan Nasional (PN).

Apa yang pasti, Belanjawan 2023 merupakan satu buah tangan Anwar pertama buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka sokong.

Tidak dinafikan, mentadbir sebuah negara pasca Covid-19 bukan sesuatu yang mudah. 'Memujuk' dan mengembalikan kepercayaan golongan ini juga bukan satu perkara mudah.

Jalan buat Anwar akan menjadi lebih mudah jika beliau dapat secara berterusan mengambil hati pengundi Melayu dengan beberapa pendekatan yang mesra kepada mereka.

Antaranya Anwar mungkin boleh mengingatkan penyokong tegar termasuk pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian sokongan pengundi Melayu terhadap kerajaan.

Jika Anwar berjaya lakukan ini, rasanya laluan untuk mentadbir negara akan lebih mudah dan lancar.

Amalan politik matang usah hanya dilafaz di bibir sahaja malahan haruslah diterjemahkan melalui perbuatan.

Sokongan dan keyakinan orang Melayu di Semenanjung Malaysia tidak boleh dipandang enteng. Sokongan mereka adalah nadi negara.

Mungkin ini baru 100 hari. Jika ingin kekal relevan dan lebih cemerlang, segeralah ubah.