Polis jamin percepat siasatan pelajar caci soalan Sejarah SPM

Tangkap layar video tular pelajar lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan peperiksaan subjek Sejarah SPM.
Tangkap layar video tular pelajar lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan peperiksaan subjek Sejarah SPM.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis memberi jaminan akan mempercepatkan siasatan melibatkan dua pelajar sekolah yang ditahan dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat berkaitan soalan subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, tindakan penahanan yang dijalankan polis mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, semua pihak tertakluk kepada undang-undang termasuk pelajar.

Beliau berkata, siasatan dijalankan dengan segera berikutan kedua-dua suspek tersebut merupakan pelajar sekolah.

"Kedua-dua suspek ini direman dua hari berikutan proses merakam keterangan berkaitan kejadian dengan lebih teliti.

"Selain itu, polis turut menjalankan semakan melibatkan isi kandungan telefon bimbit yang dirampas serta mendapatkan laporan disiplin berkaitan suspek dari pihak sekolah," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kedua-dua suspek telah diberikan jaminan awal polis biarpun pihaknya mendapat perintah reman selama dua hari.

"Polis telah memberi jaminan awal terhadap kedua-dua suspek setelah berpuas hati dengan siasatan dijalankan.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi proses selanjutnya," katanya.

Pada Jumaat, dua pelajar sekolah menengah ditahan selepas dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat berkaitan soalan subjek Sejarah SPM menerusi satu video tular baru-baru ini.

Suspek didakwa bertindak mengeluarkan kata-kata kesat ekoran didakwa tidak berpuas hati dengan soalan subjek Sejarah itu.

Tindakan penahanan kedua-dua suspek itu kemudiannya menimbulkan kecaman sekumpulan peguam dan menyiarkan kenyataan tersebut menerusi portal media tempatan.