Ahli Parlimen PN adakan pemukiman bincang Belanjawan 2023

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengadakan pemukiman bagi membincangkan Belanjawan 2023.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengadakan pemukiman bagi membincangkan Belanjawan 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengadakan pemukiman bagi membincangkan Belanjawan 2023 sebagai langkah kesediaan mereka untuk menghadiri sesi Perbahasan di Dewan Rakyat pada esok.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, esok petang adalah gilirannya untuk berbahas.

"Sedang buat persiapan untuk Perbahasan Belanjawan 2023 yang akan bermula esok selama enam hari nanti," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Pada 24 Februari 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023, iaitu belanjawan sulung beliau sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November lalu, serta selepas membentangkan 'Bajet Mini' pada Disember lalu.

Kerajaan mengambil langkah berani dengan menyediakan peruntukan besar RM388.1 bilion pada Belanjawan 2023 berbanding RM372.3 bilion pada Oktober 2022.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad memberitahu, ahli-ahli Parlimen PN berkumpul dan berbincang bagi menyemak serta mengimbangi Belanjawan 2023.

Katanya, sesi pertama kupasan adalah daripada mantan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau dikenali sebagai Tok Pa.

"Tok Pa adalah 'key leader' dalam merangka program pebasmian kemiskinan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan banyak sudah beliau siapkan.

"Banyak lagi akan kami bahaskan esok. Bak pepatah Inggeris: the devils are in the details. We are checking and “exorcising” them for the rakyat," jelasnya.

Tambahnya lagi, turut sama yang membuat pembentangan ialah Ahli Parlimen Putrajaya yang juga mantan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Diingatkan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen PN ramai yang pernah memegang jawatan menteri dan timbalan menteri sekali gus terlibat dalam membikin Belanjawan sebelum ini serta Rancangan Malaysia ke-12," jelasnya.