Belanjawan 2023 peruntuk RM388.1 bilion

Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM388.1 bilion bagi Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Tambah beliau yang juga Menteri Kewangan, selaras dengan dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan desa.

“Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.


Kementerian Pendidikan terima peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, sejumlah RM2.3 bilion disediakan bagi memastikan pelajar dapat menikmati infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah di negara ini.

Ujarnya, peruntukan itu meliputi naik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

“Peruntukan turut melibatkan kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama serta kelas yang telah uzur.

“Selain itu, sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun di Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Ujarnya, bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta pada tahun ini yang akan memanfaatkan 700,000 murid.

“Sebagai tambahan, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah KPM ditingkatkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah KPM.

“Pemantauan akan dibuat kepada penyedia makanan untuk pastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan juga akan membekalkan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan KPM.

“Guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran,” tambah beliau.