Mazlan reda digugur sebagai Exco daripada khianati rakyat

Mazlan
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang yang digugurkan dalam barisan pentadbiran baharu negeri ini mengakui bukan kem Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

ADUN Puteri Wangsa itu berkata, tidak wujud rasa berkecil hati dengan keputusan itu dan reda dengan apa juga yang dilakukan Dr Sahruddin.

"Saya memang bukan 'team' menteri besar baharu, jadi saya kena reda sajalah... tak ada kecil hatilah, saya masih wakil rakyat.

"Saya reda digugurkan daripada mengkhianati menjaga kepentingan rakyat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ditanya apakah maksud kata-katanya itu, Mazlan enggan mengulas lanjut.

"Cukuplah seringkas itu kenyataan saya," katanya.

ADUN dari parti Bersatu itu menerima surat makluman penggugurannya daripada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor jam 12 tengah malam tadi.

Mazlan memberitahu sempat memberi pesanan khusus kepada Dr Sahruddin mengenai peranannya sebagai menteri besar.

"Jaga kepentingan rakyat... itu penting daripada jaga kepentingan peribadi.

"Pesan saya, bekerjalah untuk rakyat bukan bekerja untuk kepentingan peribadi seseorang," ujarnya.

Sementara itu, ADUN Skudai, Tan Hong Ping yang turut digugurkan berkata, kesemua exco baharu perlu diberikan masa untuk memahami portfolio masing-masing.

"Jangan fokus pada saya lagilah... sekarang ada barisan baharu, fokus pada orang baru.

"Apapun, orang baharu perlukan masa untuk ambil tahu portfolio masing-masing, jadi saya rasa bagi masa sedikitlah," katanya.

Sebelum ini, ADUN DAP ini mengakui telah dimaklumkan tentang penggugurannya sehari selepas Dr Sahruddin mengangkat sumpah, minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor angkat sumpah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Exco baharu Johor pagi ini

Hari ini, tiga wajah baharu dilantik pada Majlis Istiadat pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene.

Mereka adalah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Ketiga-tiga nama baharu itu menggantikan slot Exco ditinggalkan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Tan Hong Pin (Skudai) dan Sahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Dalam istiadat sama, Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Dr Sahruddin yang membawa gelaran Datuk.

Barisan Exco yang dilantik di bawah kendalian Menteri Besar Johor ke-17, Exco terdahulu yang dikekalkan.

Mereka adalah Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Omar Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia