Tender semula 6 projek tebatan banjir tidak ambil masa lama

Ahmad Zahid mengadakan lawatan rasmi ke Kesedar di Gua Musang pada Ahad.
Ahmad Zahid mengadakan lawatan rasmi ke Kesedar di Gua Musang pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG - Proses tender enam projek tebatan banjir di tiga negeri yang dijalankan semula tidak akan mengambil masa yang lama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana kawasan yang terlibat dengan projek tersebut sudah dikenal pasti.

"Selain itu, skop kerja juga sudah ada dan pada hemat saya proses itu tidak akan mengambil masa panjang.

"Hal ini kerana sebelum itu tender tersebut dibuat secara rundingan terus atau tender terpilih. Oleh itu kaedah perolehan perlu dilakukan secara telus," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan lawatan rasmi ke Kesedar di sini.

Menurut beliau, dari segi pelaksanaan ia boleh bermula dalam waktu terdekat jika semua prosedur dipenuhi dengan baik.

Ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan projek yang ditender semula terdapat penjimatan sebanyak RM2 bilion.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menilai semula tender kerajaan membabitkan projek-projek tebatan banjir bagi memastikan proses yang berjalan akan dilaksanakan secara telus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan mengeluarkan semula tender bagi enam projek tebatan banjir selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

Projek itu melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor serta projek lain iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

Ahmad Zahid (kanan) semasa mengadakan lawatan ke Kesedar, Gua Musang pada Ahad.
Ahmad Zahid (kanan) semasa mengadakan lawatan ke Kesedar, Gua Musang pada Ahad.


TPM minta Nadma segerakan bayaran wang ihsan kepada mangsa banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyegerakan pembayaran wang ihsan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, sebelum ini semasa mengadakan lawatan ke kawasan terjejas banjir di Kelantan, beliau mengarahkan bayaran dibuat sebelum mereka (mangsa banjir) kembali ke rumah.

"Tujuannya bukan untuk pampasan tetapi untuk membaiki, menukar, membeli barang dapur dan melakukan kerja pembersihan.

"Kelewatan yang berlaku mesti ada permasalahan, kerana saya tahu dan ini kali kedua jadi pengerusi bencana pusat," katanya ketika menjawab soalan dari wartawan ketika diminta mengulas mengenai luahan mangsa banjir di Pasir Mas yang belum menerima wang ihsan sepertimana dijanjikan.

Menuru beliau, ketika banjir ada 1,000 orang berpindah bila bantuan mahu diagihkan senarainya 2,000 orang dan situasi itu menimbulkan rasa pelik.

Ujarnya, beliau tahu sebabnya tapi tidak perlu fikirkan tentang perkara itu.

Ahmad Zahid memberitahu, bayaran segera akan diberikan kepada mereka yang layak.

"Perkara ini wajib tapi ada permasalahan," katanya.