Kesedar Food Valley tangani isu keterjaminan makanan negara

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) bergambar bersama kakitangan Kesedar semasa mengadakan lawatan rasmi di Gua Musang pada Ahad.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) bergambar bersama kakitangan Kesedar semasa mengadakan lawatan rasmi di Gua Musang pada Ahad.
A
A
A

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melalui ‘Kesedar Food Valley’ menjadi usaha terbaharu kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan negara serta meningkatkan pengeluaran pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 900 hektar tanah akan diusahakan oleh agensi berkenaan dengan tanaman hasil baharu di seluruh Wilayah Gua Musang.

"Tiga projek utama yang diperkenalkan ialah Pertanian Hasil Baru, Penternakan Lembu Pedaging dan Agrotek Desa.

“Bagi memulakan usaha ini, Kesedar telah membangunkan kawasan seluas 22 hektar di Agrotek, Manik Urai, Kuala Krai yang diusahakan dengan tanaman seperti jagung, nanas MD2, kelapa, labu, cili kulai, sayur-sayuran fertigasi serta tanaman kekal seperti durian dan dokong," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), mengadakan lawatan rasmi ke Kesedar di sini.

Menurut beliau, Kesedar juga turut membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 60 hektar melalui kerjasama Nestle Malaysia dibawah Program 'Nescafe Grown Respectfully'.

Ujarnya, turut diusahakan ternakan lembu pedaging secara fidlot dan integrasi di kawasan seluas 150 hektar di Kesedar Sungai Asap dan Chalil dengan kapasiti pengeluaran daging adalah 170 tan metrik daging segar setahun.

"Usaha tersebut adalah bagi memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi selain harga pasaran berada pada paras berpatutan serta membantu negara mengukuhkan aspek keterjaminan makanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu, Kesedar akan mewujudkan hub halal di Kesedar Food Valley bagi memberi nilai tambah kepada program tersebut dan ia merangkumi pengeluaran produk makanan kepada pengguna.

"Pada masa sama, ia turut mengeluarkan bahan-bahan mentah yang sedia diproses dalam skala besar secara halal.

"Kerajaan akan turut membantu Kesedar mendapatkan pensijilan halal bagi merealisasikan cadangan itu selain modal untuk hub halal itu," katanya.