Isu caci pembuat soalan SPM: Kerajaan perlu semak semula akta

Tangkap layar video tular pelajar lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan peperiksaan subjek Sejarah SPM. (Gambar kecil: Kelvin Yii Lee)
Tangkap layar video tular pelajar lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan peperiksaan subjek Sejarah SPM. (Gambar kecil: Kelvin Yii Lee)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyemak semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memandangkan ada beberapa definisi di dalam akta berkenaan yang dilihat terlalu luas dan samar-samar.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, istilah subjektif yang digunakan seperti ‘menyinggung’ dan ‘mengganggu’ terdedah kepada penyalahgunaan.

“Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia perlu disemak semula," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian susulan penahanan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Sabtu.

Kelvin Yii yang juga Ketua Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) berkata, dalam kes berkenaan, remaja yang terbabit dalam video itu sepatutnya diberi didikan dan bimbingan yang sewajarnya.

“Mereka perlu dididik daripada dianggap sebagai penjenayah yang disiasat di bawah undang-undang bersifat 'kuno',” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Khamis, tular video memaparkan seorang individu mengeluarkan kata-kata kesat selepas didakwa tidak berpuas hati dengan soalan dalam subjek Sejarah SPM.

Pelajar tersebut turut didapati mengeluarkan kata-kata menghina sebuah negara dalam video tersebut.

Jelas Kelvin, kesejahteraan pelajar perlu diberi perhatian agar mental mereka tidak terganggu kerana ia bertentangan dengan semangat mendidik dan membentuk pelajar muda.

Dalam pada itu, Kelvin berkata, walaupun hak kebebasan mempunyai had, namun ia perlu bersifat munasabah kerana bakal memberi kesan terhadap pengguna tersebut.

Ujarnya, penyiasatan terhadap kedua-dua remaja tersebut perlu digugurkan dan mereka perlu diberi bimbingan dan sokongan yang diperlukan demi menjaga kesejahteraan mental mereka.