Perlu imbangi fiskal dan hutang

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Madeline Tan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Madeline Tan
A
A
A

SHAH ALAM - Dengan jumlah hutang sebanyak RM1.2 trilion, kerajaan terpaksa mengimbangi antara fiskal dan hutang bagi memastikan belanjawan dapat dilaksanakan.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Madeline Tan berpandangan, ia berikutan kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan pendapatan menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Peruntukan yang diumumkan juga merupakan bajet mengembang, namun timbul persoalan bagaimana kerajaan mahu membayar hutang negara yang mencecah RM1.2 trilion.

"Berdasarkan sumber hasil negara, cukup atau tidak nak biaya (belanja) pembangunan dan lain-lain kerana apabila GST (cukai barangan dan perkhidmatan) tidak akan diperkenalkan, bermakna kerajaan terpaksa mengimbangi antara fiskal dan hutang," katanya kepada Sinar Ahad.

Belanjawan mengembang bermaksud kerajaan berbelanja untuk meningkatkan pertumbuhan dan merancakkan ekonomi.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu Madeline berkata, kerajaan pada hari ini berdepan cabaran mengurus Belanjawan 2023 kerana ia digubal dalam senario ekonomi menguncup di peringkat global selain belum pulih akibat pandemik Covid-19.

Namun katanya, Anwar dilihat lebih memilih untuk menyediakan peruntukan berhemah dan berjimat cermat demi kesejahteraan rakyat.

"PM (Perdana Menteri) terpaksa berhadapan langkah untuk mengimbangi benda yang pragmatik tetapi angkanya 'sakit' dan tidak popular berbanding bajet populis.

"Kerajaan juga terpaksa berhadapan dengan situasi tuntutan rakyat yang mahu pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), subsidi ditambah selain cabaran untuk meningkatkan hasil negara ekoran hutang akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

"Untuk membayar hutang, kita perlu ada duit dan cara terbaik bayar hutang adalah melalui cukai dan sebab itulah kerajaan berhadapan dengan senario bagaimana nak meningkatkan hasil," jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba berpandangan, Belanjawan 2023 dilihat lebih menyeluruh dan bertanggungjawab selaras konsep Malaysia Madani yang menjadi tonggak Kerajaan Perpaduan.

"Fokus kerajaan yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar harus dipuji kerana tidak hanya tumpu bantuan wang tetapi mengupayakan golongan itu untuk meningkatkan potensi pendapatan.

"Maka tidak hairan mengapa perbelanjaan kali ini lebih besar kerana kerajaan perlu memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kos sara hidup," katanya.