Subsidi RM180 yuran taska bantu anak dapat pendidikan berkualiti

Kanak-kanak di taska dan tadika mempunyai banyak aktiviti yang boleh mengembangkan minda mereka.
Kanak-kanak di taska dan tadika mempunyai banyak aktiviti yang boleh mengembangkan minda mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengusaha Tadika dan Taska Swasta Kelantan (PTSK) menyambut baik penyediaan subsidi yuran taska sebanyak RM180 bagi menggalakkan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti.

Pengerusinya, Abdul Halim Hamat berkata, usaha kerajaan itu membolehkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke taska dan tadika.

Menurut beliau, ketika ini ramai yang memilih taska dan tadika kerana pusat penjagaan itu menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan minda kanak-kanak.

"Kita juga menyambut baik inisiatif kerajaan yang berusaha memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat lebih tinggi," katanya.

Tambah beliau, persatuan itu sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang menyediakan modul kursus untuk penambahbaikan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

Jelasnya, semua tadika dan taska yang berdaftar di seluruh negeri dipantau sepenuhnya supaya mengikut spesikasi yang ditetapkan kerajaan.

"Bagaimanapun kami memohon kerajaan meneliti semula gaji minimum pembantu dan guru tadika," katanya.

Abdul Halim memberitahu, ia susulan banyak pusat pendidikan itu tidak mampu berikutan yuran dikenakan rendah dan tidak setimpal dengan kemudahan yang perlu disediakan.

"Kami harap kerajaan mempertimbangkan masalah ini yang sudah lama menjadi kekangan pengusaha demi kepentingan kedua-dua pihak," katanya.

Abdul Halim pada masa sama turut memuji langkah kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada taska dan tadika.