Gempa bumi Turkiye: Hilang 10 keluarga sekelip mata

Abu Akram gagal menyekat air matanya dari mengalir ketika menceritakan detik hitam kehilangan 10 ahli keluarganya dalam tragedi gempa bumi di Turkiye.
Abu Akram gagal menyekat air matanya dari mengalir ketika menceritakan detik hitam kehilangan 10 ahli keluarganya dalam tragedi gempa bumi di Turkiye.
A
A
A

REYHANLI, TURKIYE - Sebaik memulakan bicara, Abu Akram Yusof, 54, gagal menyekat air matanya dari mengalir ketika menceritakan detik hitam yang menggegarkan negara ini pada 6 Februari lalu.

Ada ketikanya, suara Abu Akram tersekat-sekat kerana masih sedih dengan kehilangan 10 ahli keluarganya yang terdiri daripada isteri dan tiga anak serta keluarga adik lelakinya seramai lima orang.

Abu Akram berkata, ketika kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter itu, kesemua mereka yang tinggal di tingkat satu bangunan tiga tingkat di Antakya, gagal menyelamatkan diri.

"Ruangan bawah tanah, tingkat satu dan tingkat dua runtuh dalam sekelip mata. Bangunan kediaman kami kini kelihatan seumpama satu tingkat sahaja.

"Sebab itu, 10 ahli keluarga saya terkorban dalam sekelip mata kerana ditimpa runtuhan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah khemah yang kini dijadikan kediaman sementaranya di sebuah taman di bandar ini.

Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

Sehingga kini, 43,556 nyawa telah terkorban dan jumlah itu akan bertambah memandangkan usaha mencari mangsa runtuhan masih diteruskan.

Abu Akram menambah, dia terselamat kerana runtuhan di lokasinya berada membentuk satu ruangan kecil yang membolehkannya untuk terus hidup dalam tempoh tiga hari sebelum diselamatkan.

"Mayat isteri saya ditemui dalam keadaan berpelukan bersama dua anak lelaki kami.

"Sebelum itu kami berpelukan bersama-sama tetapi hanya saya seorang terjatuh ke bahagian yang menyelamatkan nyawa saya," katanya.

No Image Caption

Lebih menyedihkan katanya, anak sulungnya yang merupakan pelajar di sebuah universiti di negara ini, pulang bercuti sehari sebelum kejadian gempa bumi itu berlaku.

"Saya yang mengarahkan dia pulang kerana saya amat merinduinya. Rupa-rupanya ini merupakan panggilan maut.

"Mayatnya paling awal ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan kepala terkeluar dan tangan terkulai," katanya sedih.

Abu Akram berkata, kesemua mereka dikebumikan di tanah kelahiran mereka di Syria.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/