Kerajaan digesa lakukan kajian sebelum laksana GEG

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) menggesa kerajaan supaya menjalankan lebih banyak kajian mengenai cadangan melaksanakan Generasi Penamat (GEG) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Presidennya, Dr Arifin Fii menjelaskan, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan mengambil langkah untuk mengawal selia vape dan dasar larangan seperti GEG terhadap produk pengurangan bahaya, namun perkara itu dilihat tidak akan menjadi produktif.

Ujarnya lagi, terdapat bukti yang kukuh dan boleh dipercayai untuk membuktikan bahawa produk vape kurang berbahaya daripada menghisap rokok.

“Bukti juga menunjukkan bahawa vape berkesan dalam membantu perokok berhenti menghisap rokok.

“Kajian telah menunjukkan bahawa peratusan tidak pernah merokok yang menggunakan vape adalah sangat kecil.

“Ini benar terutamanya di Malaysia. Kajian tempatan pada 2020 mendapati bahawa hanya 0.6 peratus daripada bukan perokok menggunakan vape sekali gus menafikan fakta bahawa vape menarik minat pengguna baharu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA), Rizani Zakaria berkata, larangan penjualan vape tersebut akan memberikan kesan kepada industri tempatan termasuk pengilang, peruncit dan pengguna.

Rizani berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira potensi industri vape di Malaysia dan juga kesan kepada industri tempatan dengan polisi berkenaan.

Katanya, industri telah berjuang sejak sekian lama supaya satu undang-undang serta peraturan yang bersesuaian untuk mengawal industri vape diperkenalkan.

“Oleh itu, kita memohon kerajaan untuk mengkaji semula GEG sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Rizani turut memohon agar kerajaan melibatkan pemain industri dalam perbincangan berkenaan cukai yang bakal dikenakan ke atas produk vape dan cecair bernikotin.

Menurut Rizani, pihak MVIA memohon supaya kerajaan mempertimbangkan kadar cukai vape dan cecair bernikotin bersesuaian serta tidak terlalu tinggi bagi mengelak industri daripada terbeban selain harga produk tidak menjadi terlampau mahal.

“Dengan peraturan yang betul, Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) berpendapat bahawa dasar GEG tidak perlu kerana ia akan memberi kesan kepada pemain industri tempatan.

“Kami juga percaya bahawa lebih banyak kajian dan perbincangan diperlukan untuk menilai kesan GEG," ujarnya.

Pada Jumaat, kerajaan akan memperkenalkan Duti Eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun ini melalui Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun vape dan rokok elektronik masih tidak sah di sisi undang-undang di negara ini, ia masih dijual secara berleluasa dengan dianggarkan nilai RM2 bilion.

Katanya, kerajaan juga bersetuju sebanyak 50 peratus daripada duti berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), sebagai sokongan terhadap ikhtiar ke arah Generasi Penamat (GEG).