Ekonomi Malaysia di landasan pemulihan yang tepat

 Ekonomi Malaysia berada di landasan pemulihan yang betul dengan segala usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan.
 Ekonomi Malaysia berada di landasan pemulihan yang betul dengan segala usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia kini berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh selepas menghadapi pelbagai cabaran yang melanda dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelbagai inisiatif dan dasar diperkenalkan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih dan berkembang dengan mampan.

Peningkatan dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, perkilangan,dan perkhidmatan, serta pemulihan dalam pasaran pekerjaan, menunjukkan tanda-tanda positif bahawa ekonomi negara sedang menuju ke arah yang lebih stabil dan berdaya saing.

Usaha-usaha kerajaan dalam menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa, serta memperkukuh infrastruktur dan kemudahan awam, telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Langkah pengurangan hutang oleh kerajaan juga akan meningkatkan fiskal negara termasuklah meningkatkan nilai ringgit untuk jangka panjang.

Ia boleh dilihat daripada Indeks Bursa Malaysia yang menjadi penunjuk aras, dengan prestasi semasa melebihi 1,600 mata dengan aliran pelaburan dana asing yang terus meningkat kebelakangan. Ini menunjukkan syarikat-syarikat Malaysia tersenarai sebenarnya adalah bernilai tinggi di bawah nilai yang sebenar.

Indeks ini pernah mengalami penurunan bawah 1,500 mata hampir dua tahun, malah pernah turun bawah 1,400 mata pada September 2022 dan Jun 2023 disebabkan oleh faktor-faktor dalaman serta luar negara.

Pakar ekonomi dan kewangan dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan, situasi berkenaan adalah indikator penting menunjukkan Malaysia tetap menjadi tarikan pelaburan asing dan polisi-polisi ekonomi Kerajaan Madani mendapat sokongan mereka.

Artikel Berkaitan:

DR AIMI ZULHAZMI
DR AIMI ZULHAZMI

“Seiring dengan dasar fiskal kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengekalkan Kadar Dasar Semalaman atau OPR melalui dasar monetarinya bagi menyokong ekonomi terutamanya ekonomi dalam negeri yang terus menjadi pemangkin kepada negara.

“Industri pelancongan misalnya, berkembang pesat dengan ketibaan pelancong asing seramai 5.8 juta orang pada suku pertama 2024, pertumbuhan 32.5 peratus berbanding tempoh sebelumnya iaitu 4.3 juta orang.

“Ia berada di landasan untuk mencapai sasaran 27.3 juta orang untuk membawa pendapatan berjumlah RM103 bilion. Ini adalah perkembangan yang baik bagi lawatan tahunan Malaysia pada 2025 untuk membawa hasil yang lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru beliau berpendapat, momentum ini perlu dikekalkan untuk tahun 2026 dengan sasaran pendapatan RM150 bilion daripada sektor pelancongan.

Jelas Dr Aimi Zulhazmi, industri pelancongan membawa banyak momentum positif kepada negara, kerana secara makronya ia menambah baik nilai ringgit dengan aliran masuk mata wang asing ke dalam negara melalui pelancong yang berbelanja.

Beliau berkata, secara mikronya, peningkatan sektor pelancongan itu akan memberikan kesan gandaan ekonomi terutama peningkatan pendapatan pengusaha dalam rangkaian nilai industri pelancongan dan limpahan kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pengangkutan dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara pada 28 Jul 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara pada 28 Jul 2023.

“Tidak dinafikan pelbagai inisiatif fiskal oleh Kerajaan Perpaduan dalam Ekonomi Madani tidak dapat dilihat dengan menilai prestasi ringgit sahaja, antaranya adalah polisi peningkatan gaji progresif, pelaksanaan gaji minimum, cadangan subsidi bersasar, merasionalisasi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus, iaitu untuk mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan dan hutang jangka panjang kerajaan.

“Penstrukturan semula ekonomi akan mengambil masa untuk dilihat keberkesanannya dan pastinya memerlukan kesabaran serta pengorbanan pada peringkat awal seperti penarikan subsidi pukal yang terus meningkat setiap tahun.

“Contohnya, sebanyak RM77.3 bilion yang diperuntukkan untuk tahun 2022 dan dijangka ia akan mencecah RM81 billion untuk tahun 2024, seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan yang lalu,” katanya.

Rasionalisasi subsidi bantu kerajaan susun semula sumber

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan membantu kerajaan dalam menyusun semula sumber yang digunakan ke arah perkara yang lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Selain itu katanya, ia membantu dalam mengurangkan defisit dan hutang kerajaan.

DR MOHD AFZANIZAM
DR MOHD AFZANIZAM

Ia secara tidak langsung pastinya akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan para pelabur asing serta agensi penarafan kredit seperti S&P Global Ratings (S&P), Moody's dan Fitch Group.

“Semua ini akan membantu dalam meningkat nilai mata wang ringgit disebabkan peningkatan produktiviti serta mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Tambah Mohd Afzanizam, kadar OPR pula perlu sesuai dengan prospek pertumbuhan dan inflasi negara.

Hakikatnya, bank pusat sesebuah negara itu akan mentadbir dasar monetari mengikut acuan negara tersebut.

“Dalam kes ini, OPR yang berada di paras tiga peratus adalah sesuai dan menyokong pertumbuhan negara dan mengawal inflasi. Justeru, OPR ini unik dan tidak tertakluk dengan dasar monetari luar negara. Namun, daripada segi trend global, akan ada turun naiknya.

“Sebagai contoh, negara seperti China, Sweden dan beberapa negara Amerika Latin telah pun menurunkan kadar faedah. Bagaimanapun, kadar faedah di Amerika Syarikat sebagai penentu trend yang mana keputusan Fed (Rizab Persekutuan) akan sentiasa dipantau bagi melihat trend kadar faedah global.

“Kenaikan Bursa Malaysia banyak disokong oleh kemasukan dana asing selepas mesyuarat Fed Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 1 Mei lalu yang mana pengerusi Fed menyatakan bahawa kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat bukan perkara yang sesuai untuk dilaksanakan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai pelaksanaan gaji minimum kepada RM1,500 bermula 2022 iaitu pada pasca Covid-19, beliau melihatnya sebagai berjaya dalam meningkatkan pendapatan rakyat.

Pelaksanaan gaji minimum mendorong peningkatan perbelanjaan penggunaan untuk merancakkan kembali sektor ekonomi.
Pelaksanaan gaji minimum mendorong peningkatan perbelanjaan penggunaan untuk merancakkan kembali sektor ekonomi.

Ia sekali gus mendorong peningkatan perbelanjaan penggunaan untuk merancakkan kembali sektor ekonomi.

“Perkara ini banyak memberi kelegaan kepada peserta pasaran termasuk pasaran saham global.

“Sektor pelancongan, penerbangan dan perkhidmatan seperti perhotelan, makanan, minuman serta logistik telah mengalami kenaikan disebabkan kemasukan pelancong asing yang meningkat daripada 10 juta pada tahun 2022 kepada 20 juta pada tahun 2023.

“Justeru, kelembapan nilai ringgit memberi rangsangan positif kepada sektor-sektor yang berkaitan pelancongan,” katanya.