Belanjawan 2023 langkah berani Kerajaan Madani

Anwar menunjukkan dokumen Belanjawan 2023 ketika tiba di Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar menunjukkan dokumen Belanjawan 2023 ketika tiba di Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN mengambil langkah berani dengan menyediakan peruntukan 'besar', RM388.1 bilion pada Belanjawan 2023, berbanding RM372.3 bilion pada Oktober 2022.

Langkah itu mencerminkan usaha Kerajaan Madani dalam membasmi kemiskinan tegar dan cubaan mengurangkan hutang negara yang menjangkau RM1.2 trilion.

Peruntukan itu juga antara 'isyarat' bahawa kesejahteraan dikecapi Malaysia pada tahun lalu memperoleh hasil yang jauh lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga pandai mengambil hati apabila menambah caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 kepada ahli yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun satu.

Peruntukan hampir RM1 billion itu akan diberikan kepada hampir dua juta ahli berusia antara 40 hingga 54 tahun.

KWSP dalam kenyataan juga menyatakan Belanjawan 2023 disifatkan sebagai bajet inklusif dan bertujuan untuk menambah baik sistem perlindungan sosial Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan dilihat sedang mengambil langkah konkrit untuk membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan selain memperkukuhkan asas pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial.

Katanya, ia termasuklah inisiatif penambahan caruman ke dalam akaun satu KWSP.

Selain itu, inisiatif pengupayaan golongan miskin dan bantuan kepada B40 dan M40 juga dilihat tidak meminggir mereka.

Dalam perkembangan sama, peruntukan sebanyak RM324 juta bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan turut disambut baik oleh penggiat sukan negara.

Media melaporkan pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli memuji pendekatan kerajaan yang tidak mengagihkan bajet tersebut secara spesifik kepada mana-mana sukan seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, ia secara tidak langsung bakal melahirkan persaingan sihat antara Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) seterusnya mampu memberi impak positif kepada perkembangan atlet mahupun sukan berkenaan.

Maka, boleh disifatkan Belanjawan 2023 bertema "Membangun Malaysia Madani", selaras dengan kemaslahatan negara dan rakyat.