PH komited lakukan ‘pembersihan’ dalam setahun

Para pemimpin PH meraikan kejayaan memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14.
Para pemimpin PH meraikan kejayaan memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14.
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang setahun memerintah Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat komited melakukan ‘pembersihan’ dalam sistem pentadbiran negara daripada aktiviti salah laku dan korupsi sekali gus mengikis imej kleptokrasi yang sering dilabel terhadap pemerintahan terdahulu.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed bagaimanapun mengakui, proses membaiki kelemahan dalam sistem pentadbiran yang ditinggalkan pimpinan BN bukan satu tugas mudah.

Katanya, ia memerlukan strategi bagi memastikan setiap penambahbaikan dan pembaharuan yang dirancang dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Mustahil bagi kerajaan baharu di bawah pimpinan PH melakukan semua perubahan dan manifesto secara drastik.

“Bagaimanapun, menyedari kehendak rakyat yang meletakkan harapan tinggi supaya sistem tadbir urus kerajaan bebas daripada gejala rasuah dan salah laku, nampaknya PH komited melakukan ‘pembersihan’ dalam tempoh setahun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat hari ini PH telah melakukan beberapa pendekatan yang meningkatkan keupayaan sistem tadbir urus dalam kerajaan antaranya menyekat lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Tindakan itu sejajar dengan manifesto PH yang menyatakan kerajaan PH akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah daripada kalangan golongan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada

“Bukan itu sahaja, PH juga tidak membenarkan anggota kerajaan menjadi pengerusi dalam pelbagai syarikat berkepentingan selain menilai semula pelantikan jawatan penting dalam kerajaan bagi tujuan meningkatkan kualiti dan integriti perkhidmatan awam,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya sistem tadbir urus dijaga dengan baik, ia bukan sahaja melahirkan kakitangan awam yang terbaik malah membantu mengatasi masalah ketirisan dan rasuah yang mana faktor itu akan memberi kesan kepada kewangan sehingga menyebabkan negara berhutang.

“Selain itu, menjelang setahun pentadbiran PH, mereka juga berjaya menunaikan janji yang acap kali dibangkitkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu membawa individu bertanggungjawab dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

“Ini termasuklah mengambil inisiatif membatalkan, mengkaji dan menilai semula projek yang dilihat menjejaskan kewangan dan hutang negara meskipun telah dipersetujui kerajaan terdahulu, antaranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” ujarnya.

Katanya hasil perbincangan demi perbincangan, pada 12 April lalu, persetujuan dicapai semula antara Malaysia dan China untuk meneruskan projek ECRL dengan syarat baharu yang saksama selepas pembinaannya ditangguhkan sebaik sahaja PH memperoleh kemenangan pada PRU14.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak