Belanjawan 2023: Sektor kesihatan terima RM36.3 bilion

Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani, khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP).
Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani, khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lepas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, komponen utama peruntukan itu melibatkan keperluan perolehan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah menunggu sekian lama.

Katanya, peruntukan itu juga sebagai menyelesaikan isu kesesakan kemudahan kesihatan kerajaan antaranya dengan menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan kepada hospital swasta.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani, khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) sepertimana yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor, dengan melibatkan peruntukan RM120 juta.

"Kerajaan juga bercadang agar hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan.

"Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta.

Menurutnya, kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar di Perak; Jelebu (Negeri Sembilan) dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM80 juta bagi memperkasakan Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) yang dimulakan pada 2019 untuk kemudahan pemeriksaan atau saringan awal khas bagi golongan B40 dengan menjadikannya turut merangkumi saringan penyakit kencing manis.

"Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dan sebagai tambahan, skop pelepasan ini juga diluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti austime, sindrom Down dan Specific Learning Disabilities," katanya. - Bernama