Guru rugi lebih RM58,000 akibat Macau Scam

Guru kerugian RM58,200 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ramli)
Guru kerugian RM58,200 selepas terjerat dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru menanggung kerugian apabila simpanan dalam bank berjumlah RM58,200 lesap dalam tempoh kurang 24 jam selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 53 tahun menyerahkan maklumat kata laluan empat akaun perbankan internetnya kepada 'pegawai polis' kononnya bagi tujuan siasatan selepas dikatakan terlibat dalam kes pengedaran barang-barang terlarang dan penggubahan wang haram.

Menurutnya, mangsa bertindak demikian setelah menerima panggilan individu menyamar pekerja sebuah syarikat kurier dan polis pada Khamis.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, tanpa berfikir panjang, mangsa akur dengan arahan suspek," katanya.

Ramli berkata, mangsa sedar ditipu setelah menyemak baki akaun bank miliknya dan mendapati berlaku transaksi pengeluaran wang simpanannya ke akaun bank milik individu tidak dikenali.

"Jangan sesekali mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak tidak dikenali atau mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Selain itu, perbuatan menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada pihak lain, kemungkinan ia akan digunakan sindiket untuk kegiatan penipuan," tegasnya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati bersubahat dengan sindiket boleh dituduh di mahkamah jenayah atau berdepan tuntutan sivil.

"Sentiasa membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.