Rasa nak marah jiran tapi kena sabar

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PAGI minggu yang mendamaikan. Masa yang amat sesuai untuk bersantai-santai dan bermalasan di rumah. Selepas setiap hari penat mencari rezeki, inilah masa untuk merehatkan minda di rumah.

Namun, apa yang diharap tak seindah kenyataan. Hampa apabila melihat di hadapan rumah, longgokan daun-daun kering yang jatuh daripada pokok jiran sebelah dan najis kucing memenuhi halaman rumah.

Terpaksa pula menyapu daun-daun tersebut dan membersihkan najis entah daripada kucing siapa.

Rasa nak marah tetapi kena sabar dek memikirkan hidup berjiran harus ada sikap toleransi dan menjaga keharmonian antara satu sama lain. Tapi sampai bila harus bersabar jika mendapat jiran yang menjengkelkan?

Mungkin ada segelintir yang masih boleh bertolak ansur, namun ada juga yang hilang sabar hingga tercetusnya pergaduhan.

Seperti kisah tahun lalu, seorang lelaki warga emas cedera di kepala selepas bertengkar dengan jirannya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Kulim, Kedah.

Kejadian itu hangat diperkatakan selepas video pertengkaran antara lelaki tersebut dan seorang wanita dipercayai jirannya tular di media sosial.

Pertengkaran akibat rasa tidak puas hati berkaitan tindakan melonggokkan sampah di hadapan rumah itu dipercayai telah berlarutan sekian lama hingga menimbulkan rasa tidak puas hati kedua-dua pihak. Mujurlah mereka sepakat mahu menyelesaikan isu tersebut dengan baik.

Ada juga kes pergaduhan antara jiran dibawa hingga ke mahkamah. Bulan lalu, seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas dua tuduhan mencederakan isteri jirannya dan bergaduh dengan suami wanita itu pada Disember 2022.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham mengenai isu kawasan parkir antara tertuduh dengan jirannya.

Isu parkir atau berebut kawasan meletakkan kenderaan bukanlah perkara baharu kerana sudah acap kali berlaku terutama di kawasan perumahan.

Menurut peguam hartanah, Syazwan Mohd Jafri, kes pagar rumah dihalang oleh kereta jiran adalah perkara biasa, namun ramai yang tidak tahu mengenai hak mereka di sisi undang-undang.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau menjelaskan, terdapat dua peruntukan undang-undang disediakan bagi menangani masalah orang parkir di hadapan rumah orang lain.

Pertama, di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebut adalah menjadi kesalahan bagi pemandu yang meletakkan kenderaan mereka dengan cara yang menyusahkan/menghalang pengguna lain. Jika didapati bersalah, boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 atau penjara tidak kurang satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua, Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 iaitu kesalahan letak kereta di hadapan rumah orang. Di bawah Seksyen 22 AKK 1955, barang siapa yang melanggar masuk pekarangan rumah dengan sengaja tanpa alasan munasabah, boleh didenda sehingga RM50.

“Ramai tidak tahu, sebenarnya di bawah Seksyen 48(2) APJ 1987, pihak berkuasa seperti pegawai polis, pegawai JPJ, pegawai majlis perbandaran dibenarkan untuk clamp dan towing kereta yang menghalang atau menyusahkan orang lain.

“Oleh itu, semasa membuat aduan, pastikan anda maklumkan akta ini. Apabila tahu kereta nak kena tow, pasti jiran tidak akan ulang kesalahan sama,” katanya.

Tambah Syazwan, perbuatan meletakkan kereta sehingga menghalang rumah jiran juga boleh dikira sebagai kesalahan tort kacau ganggu peribadi yang membolehkan pemilik rumah mengemukakan saman dan mendapatkan perintah halangan agar pelaku tidak meneruskan lagi salah laku.

Kesimpulannya, hidup berjiran tidak boleh ada sikap mementingkan diri sendiri, malah dalam Islam sendiri, setiap individu dituntut untuk berlaku baik kepada jiran.

Seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW memberi amaran: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada gangguan-nya.”

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian