Kanak-kanak tanpa negara diberi pendidikan vokasional

Teo Nie Ching
A
A

KUALA LUMPUR - Kanak-kanak termasuk golongan tanpa warga negara yang bersekolah di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), di sini diberikan pendidikan asas vokasional dalam empat bidang utama iaitu masakan, jahitan, seni dan muzik.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata ia bertujuan supaya mereka mempunyai kemahiran, yang akan memberikan peluang lebih besar untuk mendapatkan pekerjaan, apabila diambil kira situasi sebenar kerana mereka tiada pengenalan diri.

“Kalau mahu mendapat pekerjaan tetap terutama golongan tanpa kerakyatan, memang agak susah kerana untuk menjadi pekerja yang formal, mereka memerlukan dokumen pengenalan diri.

“Kita utamakan keempat-empat kemahiran ini dan harap bahawa pelajar, selepas sekolah, mereka boleh dapat pekerjaan sekurang-kurangnya di persekitaran Chow Kit,” katanya pada sesi soalan lisan persidangan Dewan Negara, hari ini.

Teo menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Nor Monutty yang ingin tahu apakah usaha dalam memberikan pendidikan formal kepada kanak-kanak keluarga gelandangan di sini.

Teo berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius usaha untuk memberikan pendidikan untuk semua dan kerana itulah kemasukan kanak-kanak tanpa warga negara ke sekolah kerajaan dipermudahkan bermula 2019.

Ibu bapa, bagaimanapun, katanya perlu berusaha untuk mendapat dokumen rasmi supaya kanak-kanak berkenaan mudah mendapat pekerjaan pada masa hadapan.

“Ini adalah kesilapan ibu bapa mereka yang tidak daftar perkahwinan mereka kerana isteri atau ibu kanak-kanak itu bukan warganegara Malaysia. Kedua, terutama di Sabah dan Sarawak, mungkin kerana tinggal di pedalaman, ibu bapa tidak ambil inisiatif untuk daftar kelahiran mereka,” katanya.

“KPM bersedia membekalkan pendidikan kepada golongan ini tetapi apabila habis pelajaran, kalau mereka masih tiada apa-apa dokumen, mereka akan hadapi banyak masalah untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya. - Bernama