Covid-19: Rundingan vaksin Bivalent masih berlangsung

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam proses rundingan dengan Pfizer Sdn Bhd mengenai vaksin Bivalent Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan bertemu dengan syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk menyelesaikan perkara itu.

"... diharapkan kita akan memperoleh vaksin Bivalent secepat mungkin,” katanya selepas melancarkan teknologi sistem Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC) sempena Hari Kanser Sedunia 2023 di Hospital Pakar KPJ Damansara di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita mengenai perkembangan terkini vaksin itu yang sebelum ini dianggarkan tiba ke Malaysia menjelang akhir Januari.

Pada 2 Januari lepas, Dr Zaliha dilaporkan berkata, vaksin Bivalent Covid-19 akan dibekalkan ke negara ini tidak lama lagi susulan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Mengulas majlis hari ini, beliau berkata meskipun kemajuan prositif dicapai dalam pengurusan kanser, sejumlah 63.7 peratus kes yang dilaporkan sudah berada di tahap ketiga dan keempat ketika didiagnosis.

"Pada tahap ketiga dan keempat, kadar survival pesakit merosot dengan ketara. Ini mungkin disebabkan oleh kelewatan pengesanan, kurang kesedaran, kadar saringan yang lemah atau ketersediaan penjagaan perubatan yang terhad terutama di kawasan luar bandar.

"Meskipun rawatan adalah penting, kesedaran mengenai kanser juga mesti diutamakan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, terdapat peningkatan sebanyak 11 peratus dalam kes kanser yang direkodkan dari 2012 hingga 2015, menjadikan jumlah kes kepada 115,238 berbanding 103,507 bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Pada 2020, beliau berkata, sejumlah 48,639 kes kanser baharu direkodkan dengan 29,530 kematian akibat penyakit itu.

LINAC adalah teknologi sistem pencepat linear sofistikated yang digunakan untuk menyediakan bentuk rawatan paling tepat dan selamat bagi pesakit kanser. - Bernama.